redzuan.muharam@hmetro..com.my
Kajang: “Ada yang kata saya ‘gilakan’ harta sebab kahwin dengan wanita berusia.. apatah lagi isteri seorang doktor dan juga anak orang berada.
“Hakikatnya, saya tak cari pasangan berdasarkan rupa atau harta tapi semua aspek, paling penting keperibadiannya,” kata usahawan tudung, Mohd Shahril Tuah atau mesra disapa Aril.
Aril, 38, mendapat perhatian di TikTok kerana sering berkongsi video yang mempamerkan kemesraannya dengan isteri, Dr Zahida Datuk Mohamad Zahudi, 56, dalam siaran langsung di platform berkenaan.
Gelagat comel Aril dan Dr Zahida membuatkan rata-rata warganet suka melihat keserasian mereka kerana tidak nampak kekok sebagai suami isteri walaupun jarak usia mereka 18 tahun.
Berkongsi kisahnya, Aril yang juga bekas wardar penjara dan pramugara berkata, dia sudah 11 tahun berumah tangga serta bersyukur kerana perkahwinan mereka bertahan sehingga kini.
Aril berkenalan dengan Dr Zahida selepas membawa ibunya ke klinik isterinya dan sejak itu hatinya terpaut hingga ingin mengenali wanita berkenaan dengan lebih dekat.
“Kami masih ‘old school’ (cara lama) iaitu kenal secara fizikal selepas jumpa depan-depan.
“Kali pertama jumpa isteri waktu bawa emak datang berubat di kliniknya, di situlah permulaan kami berkenalan.
“Saya nampak kelembutannya (isteri) selepas lihat cara dia terangkan dan beri nasihat kepada emak mengenai kesihatan jadi itu yang membuatkan saya tertarik,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini.
Bertitik tolak daripada situ, Aril berkawan dengan Dr Zahida dan seterusnya mengenali hati budi masing-masing.
“Waktu itu, dia baru kehilangan suami yang kembali ke Rahmatullah manakala saya pula baru putus tunang.
“Bila berkawan, nampak peribadi isteri yang baik, matang, kemas dan disiplin… paling suka dan banyak belajar dengannya adalah sikapnya yang tidak berprasangka buruk dengan orang lain.
“Dalam tempoh perkenalan, kami tunjukkan keikhlasan dalam perhubungan dengan ahli keluarga masing-masing dan syukur dapat restu kedua belah keluarga untuk berkahwin selepas tiga tahun berkawan,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Menurut Aril, dia bersyukur kerana perkahwinannya sudah bertahan lebih sedekad walaupun menempuhi banyak cabaran pada awal perkahwinan.
Aril juga tidak menyangka video dimuat naiknya di TikTok mendapat perhatian hingga ramai mendoakan dan menyokong perniagaannya.
“Nikmat yang saya syukuri sejak berkahwin dengan isteri adalah ketenangan dalam rumah tangga disebabkan keperibadiannya.
“Terima kasih banyak sebab ada dengan honey (nama panggilan) waktu susah senang dan jatuh bangun termasuk ketika fasa tak diterima orang luar hingga masuk ke dunia ‘content creator’ (pencipta kandungan).
“Kalau ada pun yang kata tak baik, saya maafkan dan doakan semoga Allah SWT buka hati untuk terima dengan tenang. Semoga mereka jadi husnudzon,” katanya.
Sementara itu, Dr Zahida berkata, dia pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki enam tahun lebih berusia sebelum hidup solo selepas suaminya meninggal dunia pada tahun kesembilan perkahwinan.
Katanya, tiga tahun dia hidup solo dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkahwin lagi sehingga Aril datang dalam hidupnya.
“Waktu kahwin, saya berusia 45 tahun dan dia (suami) 27, tapi fikirannya tak macam budak-budak kerana saya yang lebih kebudak-budakan.
“Cara dia cakap pun teratur, tak ada borak kosong dan boleh diajak bersembang. Kami berdua tak terlalu mencuba nak tarik perhatian satu sama lain tapi cuba cari titik tengah supaya dapat bertolak ansur.
“Walaupun dia lebih muda, saya tetap anggap dia suami, kena hormat, terima apa dia tegur dan bukan fikir nak menang kerana saya pun ada banyak kekurangan.
“Tapi suami banyak bimbing terutama dalam soal agama kerana dia lebih arif.
“Apa yang penting kena jujur dengan satu sama lain dan semoga kami berbahagia di dunia hingga akhirat,” katanya yang sudah 28 tahun bergelar doktor.
© New Straits Times Press (M) Bhd