'Ada yang sanggup hilang pedoman menyihir saya' – Roy Ratnaku

'Ada yang sanggup hilang pedoman menyihir saya' – Roy Ratnaku

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi Roy Ratnaku yang kini bergerak aktif sebagai buskers mendedahkan dirinya dikecam dan dikutuk oleh ramai buskers lain kerana dikatakan memonopoli lokasi busking di sebuah kompleks membeli-belah di Taman Setiawangsa.

Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 61, berkata, tuduhan ini dibuat secara melulu tanpa memikirkan soal dosa dan tanpa bertanyakan perkara sebenar.

“Sebenarnya tapak busking di situ saya sewa kerana pihak pengurusan kompleks itu minta saya jaga aktiviti busking di sana. Mereka tawarkan kontrak sewa itu pada saya.

“Jadi bukannya secara percuma macam buskers lain dapat di ‘mall’ lain. Kalau ada buskers nak busking di sini, kenalah bayar sewa pada saya.

“Punyalah nak sangat tempat ini dan bencikan saya sampai ada yang sanggup hilang pedoman menyihir saya. Saya tak tahu siapa mereka itu,” tulisnya di media sosial.

Roy yang turut dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu patriotik turut memaklumkan sudah bertemu ustaz untuk mengubati penyakitnya.

Namun ustaz terbabit tidak mahu memberitahu siapa individu yang tergamak melakukan perbuatan keji ini terhadapnya.

Roy yang dihubungi kemudiannya berkata, dia sering menasihatkan para buskers supaya faham dengan keadaan tempat untuk mencari rezeki.

“Ada persatuan buskers berkeras nak bagi buskers tempat percuma. Jadi saya nasihatkan dulu pada mereka, jangan terlalu manjakan buskers.

“Kenakan caj juga yang munasabah pada ahli-ahli persatuan mereka sekiranya persatuan itu dapat tempat busking di mall atau mana-mana tempat supaya mereka menghargai tempat itu.

“Jadi persatuan tidaklah mengeluh apabila nak buat mesyuarat tahunan. Tak payahlah guna duit individu atau Pengerusi Persatuan,” katanya yang sudah beberapa tahun bergelar buskers.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top