Adab Dan Ilmu : Perjuangan Anak B40 Dalam Menghadapi Stereotaip Sosial Di Menara Gading

Petaling Jaya: Semenjak kebelakangan ini, perbualan mengenai bantuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) semakin hangat diperkatakan sama ada di platform media sosial mahupun dalam kalangan masyarakat sendiri di dalam mahupun di luar kampus. Ada yang melihat bantuan itu sebagai peluang membina masa depan, namun tidak kurang juga yang menyindir kononnya pelajar B40 mendapat “kelebihan istimewa” ataupun “privilege” berbanding yang lain. Fenomena ini menunjukkan wujudnya jurang kefahaman antara kelompok masyarakat yang berbeza latar sosioekonomi.

Saya percaya bahawa bantuan kepada pelajar B40 bukan suatu kemewahan, tetapi suatu keperluan. Ramai di antara mereka datang daripada keluarga yang hidup cukup-cukup makan. Biasiswa dan elaun digunakan untuk menampung keperluan asas seperti makanan, penginapan, pengangkutan, buku dan alat tulis.

Di universiti awam, pelajar B40 merupakan kumpulan majoriti. Berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2024, lebih 50 peratus pelajar universiti awam berasal daripada keluarga B40. Walaupun angka itu menunjukkan akses pendidikan tinggi semakin meluas, ia juga mendedahkan cabaran besar iaitu memastikan semua pelajar mempunyai peluang yang adil untuk berjaya tanpa terpinggir oleh faktor ekonomi.

Namun begitu, dalam kalangan masyarakat kampus, terdapat segelintir pelajar dari keluarga berkemampuan yang melihat bantuan B40 sebagai bentuk keistimewaan yang tidak adil. Ada yang bersuara lantang mengatakan mereka juga membayar cukai, maka semua pelajar patut mendapat layanan sama rata. Malangnya, pandangan seperti ini menunjukkan kurangnya empati terhadap realiti kehidupan rakan-rakan mereka yang berjuang dalam kesempitan.

Fenomena ini tidak berlaku secara rawak. Kerap kali, persepsi negatif terhadap pelajar B40 berpunca daripada kurangnya pendedahan dan kefahaman terhadap realiti kehidupan mereka. Sesetengah pelajar yang datang daripada keluarga berkemampuan sukar membayangkan cabaran kewangan yang dihadapi rakan-rakan mereka, lalu muncul tanggapan bahawa bantuan yang diterima adalah “kelebihan” atau “privilege” yang tidak sepatutnya wujud. Sikap merendahkan ini juga dipengaruhi oleh budaya persaingan akademik dan sosial di kampus, di mana kejayaan sering diukur melalui harta, kemudahan atau kemewahan. Keadaan ini menimbulkan jurang empati, sekaligus menambah tekanan mental kepada pelajar B40 kerana mereka seolah-olah dipersoalkan nilai dan usaha mereka sendiri.

Di sebalik bantuan yang diterima, ramai pelajar B40 masih bekerja sambilan untuk menampung kehidupan. Ada yang menjadi penghantar makanan, juruwang atau pembantu kedai selepas waktu kuliah. Seorang pelajar ditemui berkata, “Bantuan universiti cuma cukup untuk sewa bilik dan makan. Kadang-kadang kalau lewat dapat duit, saya terpaksa berpuasa atau makan biskut saja.” Ini hakikat yang jarang didengar, tetapi benar-benar berlaku di banyak kampus.

Dalam situasi ini, amat penting bagi masyarakat, terutama warga universiti, untuk melihat isu ini dengan lebih matang. Janganlah kita memperkecilkan mereka yang dibantu, seolah-olah bantuan itu datang kerana kelemahan. Sebaliknya, bantuan itu wujud kerana sistem kita berusaha menyediakan ruang yang sama untuk semua termasuk mereka yang dilahirkan dalam keluarga kurang berkemampuan.

Tindakan menuding jari atau menghina penerima bantuan bukanlah solusi. Sebaliknya, pihak universiti dan masyarakat perlu memperkukuh budaya empati serta saling memahami. Program mentor-mentee, sokongan psikologi, serta aktiviti komuniti rentas latar sosial wajar diperbanyakkan agar pelajar dari pelbagai kelompok dapat belajar saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

Dalam konteks Islam, pendidikan itu sendiri adalah ibadah dan amanah. Islam menekankan tanggungjawab masyarakat terhadap golongan yang lemah, termasuk dalam hal menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Prinsip inilah yang perlu dihidupkan semula dalam budaya pendidikan kita.

Selain itu, peranan ibu bapa dan pendidikan awal tetap penting dalam membentuk kefahaman anak-anak tentang nilai kesyukuran, empati dan belas ihsan. Pendidikan moral dan sivik sepatutnya ditekankan sejak di sekolah supaya generasi muda belajar menghargai dan tidak memandang rendah mereka yang kurang bernasib baik. Seperti pepatah Melayu, “Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”, nilai hormat dan keprihatinan sepatutnya dipupuk dari kecil agar menjadi sebahagian daripada diri mereka.

Akhirnya, kita perlu sedar bahawa pelajar-pelajar dari kalangan B40 yang sedang menuntut di universiti ini yang sedang berjuang gigih untuk menamatkan pengajian dan memperbaiki masa depan mereka, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga bagi keluarga dan masyarakat. Mereka berusaha agar dapat keluar daripada kepompong kesusahan, menempuh segala cabaran kewangan dan tekanan sosial, serta membina kehidupan yang lebih stabil pada masa hadapan. Bantuan yang diterima menjadi dorongan kepada mereka untuk terus melangkah ke hadapan, agar suatu hari nanti mereka mampu memberi kembali kepada masyarakat dan menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya. Janganlah kita memperkotak-katik, merendahkan, atau menilai mereka berdasarkan latar belakang keluarga; sebaliknya, hargai usaha dan dedikasi yang mereka tunjukkan.

Oleh: Norain Binti Shamsuwalbahri
Pelajar tahun akhir Jabatan Sejarah
Tamadun Dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.
Email: 23004426@siswa.um.edu.my

Scroll to Top