Washington: Pendirian lantang Kamala Harris mengenai perang di Gaza, membayangkan kemungkinan peralihan dalam dasar Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel ketika pentadbiran Presiden Joe Biden.
Kamala yang juga Naib Presiden secara jelas tidak hadir ketika Presiden Israel Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapannya di Kongres AS pada Rabu, dalam apa yang dikatakan penganalisis sebagai isyarat jelas mengenai kebimbangannya terhadap korban awam di Gaza.
Wanita berusia 59 tahun itu tidak pernah bercanggah pendapat dengan Biden mengenai Israel. Bagaimanapun, beliau berulang kali menjadi pegawai pentadbiran AS yang paling lantang menyeru gencatan senjata dalam sepanjang konflik itu.
Dengan penarikan diri mengejut Biden daripada perlumbaan Rumah Putih, Harris berpeluang untuk membuka lembaran baharu dalam isu yang berisiko memberi kesan kepada sebilangan besar pengundi Demokrat menjelang pilihan raya presiden pada November depan, kata pengarah penyelidikan di Kumpulan Soufan, Colin Clarke
“Isu Israel-Gaza adalah isu yang mana terdapat perbezaan pendapat paling banyak antara Biden dan Harris, dan saya fikir akan ada orang di dalam kemnya yang akan mendorongnya untuk membuat perbezaan itu jelas,” katanya.
Mac lalu, Harris membuat apa yang ketika itu adalah komen paling kuat setakat ini oleh mana-mana pegawai pentadbiran AS apabila beliau menggesa perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan penderitaan yang amat besar, dan mengkritik Israel berhubung penghantaran bantuan yang tidak mencukupi ke Gaza.
Mesej itu dinyatakan Naib Presiden kulit hitam AS yang pertama itu ketika di Selma, Alabama, lokasi perarakan menuntut hak sivil yang ditangani ganas oleh polis, dikenali sebagai peristiwa Bloody Sunday (Ahad Berdarah) pada 1965.
Biden menyokong kuat perang Israel terhadap Hamas sejak serangan kumpulan itu pada 7 Oktober tahun lalu, dan mengekalkan bantuan ketenteraan walaupun terdapat ketegangan dengan Netanyahu.
Serangan Hamas ke atas selatan Israel mengakibatkan kematian 1,197 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka daripada Israel.
Pejuang Hamas juga merampas 251 tebusan, 116 daripadanya masih berada di Gaza, termasuk 44 daripadanya yang dilaporkan sudah meninggal dunia.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 39,090 orang, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




