Shanghai: Sebuah aplikasi telefon China bernama Sileme atau ‘Dead or Alive’ menjadi tular kerana membolehkan pengguna mendaftar masuk setiap hari bagi mengesahkan mereka masih hidup, mencerminkan trend kehidupan bujang golongan muda di negara itu.
Memetik lapor South China Morning Post, aplikasi itu dibangunkan oleh gergasi penghantaran makanan Ele.me, yang kini dinamakan semula oleh pemiliknya, Alibaba Group Holding, kepada Taobao Shangou.
Pengguna boleh mendaftar masuk setiap hari dengan menekan butang hijau besar bagi mengesahkan status ‘hidup’ mereka dengan kos lapan yuan (kira-kira RM 4.65) untuk langganan.
Jika gagal mendaftar masuk selama dua hari berturut-turut, aplikasi berkenaan akan menghantar e-mel kepada orang yang ditetapkan sebagai kontak kecemasan.
Aplikasi ini difahamkan sudah menduduki carta teratas dalam senarai aplikasi berbayar di Apple China App Store sejak 10 Januari.
Susulan itu, harga ditukar daripada satu yuan kepada lapan yuan (kira-kira 58 sen kepada RM4.65) atas faktor kos.
Dilancarkan pada Jun 2025, aplikasi ini dibangunkan oleh tiga individu berusia sekitar 30 tahun dari Henan, China tengah yang semuanya mempunyai pekerjaan sepenuh masa lain dan kini hanya ada versi iOS.
Menurut salah seorang pembangun, Guo Mengchu, aplikasi itu mengambil masa sebulan untuk dibangunkan dengan kos hanya 1,000 yuan (kira-kira RM581).
Jelas Guo, aplikasi ini menyasarkan golongan yang hidup bersendirian dan ingin dihormati serta dijaga.
Guo berkata, aplikasi itu mencatat keuntungan dengan muat turun meningkat 200 kali ganda selepas tular.
Media melaporkan, nama Sileme bermaksud ‘Adakah kamu mati’, yang kedengaran menyeramkan dalam kepercayaan tradisional Cina, tetapi pengasas memaklumkan, pihaknya tidak bercadang menukar namanya.
Dalam pada itu, sesetengah pengguna berkata, aplikasi itu lebih kepada hiburan daripada fungsi sebenar, manakala yang lain melihatnya sebagai menangkap keperluan sebenar orang yang hidup bujang.
Menurut Laporan Era Solo Baru, 123 juta orang di China hidup bersendirian pada 2024, meningkat 5.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, termasuk 110 juta berumur antara 20 hingga 50 tahun.
Pembangun juga merancang versi lain aplikasi untuk golongan pertengahan umur dan warga emas dengan nama yang ‘lebih ringan’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




