Adakah pajak gadai Ar Rahnu riba?

Soalan:

Salam. Mohon pandangan berkaitan pajak gadai Ar Rahnu yang dikatakan sebagai riba’.

Ringkasan jawapan

Ar Rahnu tidak mempunyai kaitan dengan riba kerana ianya berbeza dengan sistem pajak gadai konvensional yang berteraskan pinjaman dan mengenakan faedah atas pinjaman yang diberikan manakala Ar Rahnu pula melibatkan Qard al-Hasan, al-rahn dan al-wadiah yad al-Dhamanah. Bayaran lebihan yang dibayar dalam ar-rahnu dipanggil sebagai ujrah atau upah pengurusan serta upah simpanan kepada pihak yang menawarkan khidmat ar-Rahnu.

Advertisement

Huraian jawapan

Gadai menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat merujuk kepada pinjaman wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk tempoh tertentu (kalau tidak ditebus dalam tempoh tersebut barang itu akan menjadi milik orang yang memberi pinjaman). Sistem gadaian ini dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan tunai segera dengan mencagarkan barang berharga kepada hutang yang diperoleh. Barang yang dicagar tersebut akan dipegang oleh pemberi hutang sehingga waktu yang ditentukan, sekiranya penghutang tidak dapat menjelaskan hutang tersebut maka pemiutang boleh menjual barang tersebut bagi mendapatkan semula wang yang dipinjamkan kepada penghutang tersebut.

Praktis pajak gadai konvensional

Amalan pajak gadai biasa, seorang penghutang mencagarkan barang kemas seperti emas kepada syarikat pajak gadai sebagai jaminan ke atas hutang yang diberikan syarikat tersebut. Syarikat pajak gadai mengenakan syarat kepada penghutang untuk menjelaskan hutangnya dalam tempoh tertentu seperti 3 bulan, 6 bulan atau 9 bulan dan cas faedah (interest) tertentu dikenakan pada setiap bulan bagi hutang yang diberikan.

Contoh:

Ali berhutang dengan Syarikat Pajak Gadai ABC sebanyak RM10,000 dan mencagarkan barang kemas seperti gelang dan cincin. Ali telah bersetuju dengan Syarikat Pajak Gadai ABC untuk menjelaskan hutang tersebut dalam tempoh 6 bulan dan Syarikat Pajak Gadai ABC mengenakan cas faedah sebanyak 1.5% setiap bulan sehinggalah hutang dijelaskan dan syarikat tersebut mengenakan cas 1.5% sekiranya Ali lewat membayar hutangnya. Maka inilah yang dikatakan riba atas pinjaman yang diharamkan.

Allah s.w.t berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُواْ ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضۡعَٰفا مُّضَٰعَفَةۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. (Surah an-Nisa’: 130)

Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menerangkan maksud dari ayat ini adalah perbuatan mengambil faedah atau pertambahan atas hutang yang diberikan merupakan amalan kaum jahiliyyah yang diharamkan.

أَنَّ التَّحْرِيمَ الَّذِي فِي الْقُرْآنِ إنَّمَا تَنَاوَلَ مَا كَانَ مَعْهُودًا لِلْجَاهِلِيَّةِ مِنْ رِبَا النّسَاءِ وَطَلَبِ الزِّيَادَةِ فِي الْمَالِ بِزِيَادَةِ الْأَجَلِ وَكَانَ أَحَدُهُمْ إذَا حَلَّ أَجَلُ دَيْنِهِ وَلَمْ يُوَفِّهِ الْغَرِيمُ أَضْعَفَ لَهُ الْمَالَ وَأَضْعَفَ الْأَجَلَ ثُمَّ يَفْعَلُ كَذَلِكَ عِنْدَ الْأَجَلِ الْآخَرِ

Maksudnya: Pengharaman yang terdapat di dalam al-Quran merujuk kepada apa yang berlaku ketika zaman jahiliyyah iaitu riba nasiah (tambahan atas hutang) dan menuntut untuk tambahan pada harta dengan pertambahan tempoh bayaran hutang. Dan berlaku dalam kalangan mereka (orang jahiliyyah) apabila cukup tempoh hutangnya dan dia tidak dapat menjelaskannya maka (pemiutang) menambah padanya harta (tambah bunga pada hutang) menambah tempoh kemudian dia melakukannya pada tempoh yang lain. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 391/9)

Praktis gadaian di institusi ar-Rahnu

Institusi ar-Rahnu juga mempunyai konsep gadaian yang sama cuma pelaksanaannya berbeza dengan pajak gadai konvensional. Peminjam disyaratkan agar mencagar barang gadaian yang terdiri daripada barang kemas yang diperbuat daripada emas dan berlian sebagai jaminan kepada hutang tersebut. Tambahan lagi, pinjaman yang diberikan tidak dikenakan sebarang caj yang menjadikannya sebagai Qard al-Hasan (pinjaman tanpa faedah).

Peranan sistem Ar Rahnu adalah untuk menjadi alternatif bagi umat Islam yang memerlukan serta menghapuskan sistem riba yang diamalkan sistem pajak gadai konvensional iaitu pinjaman yang diberikan akan dikenakan faedah yang perlu ditanggung oleh peminjam.

Contoh:

Ali berhutang dengan Syarikat ar-Rahnu ABC sebanyak RM10,000 dan mencagarkan barang kemas seperti gelang dan cincin sebagai jaminan. Ali dan Syarikat ar-Rahnu ABC telah sepakat bahawa Ali perlu menjelaskan hutangnya itu dalam tempoh tertentu tanpa ada sebarang cas faedah pada hutang yang diberikan. Ali hanya perlu membayar cas simpanan kepada Syarikat ar-Rahnu ABC kerana syarikat tersebut telah menjaga keselamatan barang yang digadainya itu.

Ar-Rahnu adalah sebuah kontrak yang mana sesuatu barang berharga dijadikan sebagai cagaran kepada hutang yang diberikan dan sekiranya peminjam sukar untuk menjelaskan hutang tersebut maka pemiutang boleh menjual barang tersebut bagi mendapatkan semula wang yang dipinjamkan. Perkara ini dinyatakan oleh Abi Syuja’, Khatib Syarbini dan Imam Qalyubi dalam kitab karangan mereka.

‌جعل ‌عين ‌مالية ‌وثيقةً ‌بِدَينٍ يُستوفى منها عند تعذر الوفاء.

Maksudnya: Menjadikan sesuatu bentuk harta yang mempunyai nilai sebagai sandaran hutang yang boleh dicagar dengannya sekiranya terdapat kesukaran untuk menjelaskan hutang tersebut. (Rujuk Fathul Qarib 171; al-Iqna’ fi hal alfaz Abi Syuja’ 297/2; Hasyiah Qalyubi 352/5)

Hukum tentang keharusan ar-Rahnu adalah merujuk kepada firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 283.

وَإِن كُنتُمۡ عَلَىٰ سَفَرٖ وَلَمۡ تَجِدُواْ كَاتِبٗا فَرِهَٰنٞ مَّقۡبُوضَةٞۖ

Maksudnya: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). (Surah al-Baqarah: 283)

Oleh itu, Imam Syafie menerangkan ayat ini menjadi petunjuk bahawa mengadakan barang gadaian sebagai jaminan pada hutang adalah dibolehkan.

فَكَانَ بَيِّنًا فِي الْآيَةِ الْأَمْرُ بِالْكِتَابِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ، وَذَكَرَ اللَّهُ – تَبَارَكَ اسْمَهُ – الرَّهْنَ إذَا كَانُوا مُسَافِرِينَ، وَلَمْ يَجِدُوا كَاتِبًا فَكَانَ مَعْقُولًا

Maksudnya: Ayat ini menerangkan tentang perintah untuk mencatat hutang ketika dalam keadaan tidak bermusafir atau bermusafir, dan Allah s.w.t menyebut ar-Rahn sekiranya dalam keadaan musafir dan tidak ada penulis hutang maka ianya adalah logik. (Rujuk Al-Umm 141/3)

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga pernah menggadai baju besi baginda untuk membeli makanan daripada seorang Yahudi secara kredit sekali gus menunjukkan keharusan untuk melakukan transaksi ini.

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ‏.‏

Maksudnya: Rasulullah s.a.w membeli makanan daripada seorang Yahudi secara kredit dan mencagar baju besi baginda padanya. [Riwayat al-Bukhari (2096) dan Muslim (1603)]

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَاتَ وَدِرْعُهُ رَهْنٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلاَثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ‏.‏

Maksudnya: Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w wafat dalam keadaan perisai baginda masih lagi dicagarkan kepada seorang Yahudi dengan 30 sa’ barli. [Riwayat Ibn Majah (1993)]

Al-Harari menyatakan hadis tersebut menjadi dalil tentang keharusan untuk melakukan ar-Rahn.

والحديث دليل على جواز الشراء بالنسيئة، وعلى جواز الرهن بالدين

Maksudnya: Dan hadis ini menjadi dalil kepada keharusan jual beli secara kredit dan keharusan meletakkan cagaran pada hutang. (Rujuk Syarh Sunan Ibn Majah lilharari 199/14)

Amalan ar-Rahnu pada masa kini bukanlah terdiri di atas konsep ar-Rahn sahaja tetapi turut melibatkan prinsip lain seperti wadi’ah yad al-dhamanah (institusi ar-Rahnu menjaga barang yang dicagarkan dan menjamin keselamatan barang tersebut). Dalam hal ini, hubungan peminjam dengan institusi ar-Rahnu adalah pemilik barang dengan pihak yang menyimpan barang. Atas dasar simpanan ini, upah simpanan dikenakan pada pemilik barang atas barang gadaian yang disimpan dengan kadar yang tertentu. Maka, caj tambahan lain yang dikenakan dalam transaksi ar-Rahnu adalah kerana faktor lain sebagaimana yang dinyatakan dan ianya tidak salah di sisi syarak.

Kesimpulan

Perbezaan antara pajak gadai konvensional dan ar Rahnu adalah pada kontrak perjanjian pinjaman tersebut. Sistem pajak gadai konvensional mengenakan bayaran faedah atas pinjaman yang diberikan dan ianya menjadi sumber hasil kepada pemberi pinjam dan ini adalah riba. Manakala dalam sistem ar-Rahnu pula, pinjaman yang diberikan tidak dikenakan sebarang faedah tetapi caj perkhidmatan atau upah simpan (ujrah) dikenakan bagi menampung kos pengurusan oleh pihak yang menjalankan ar Rahnu.

Upah-upah (ujrah) lain yang dikenakan dalam ar-Rahnu ini adalah perkara yang berbeza dengan kaedah pajak gadai konvensional yang mengenakan faedah pada pinjaman itu sendiri. Oleh itu, sistem ar-Rahnu mempunyai perbezaan yang ketara dengan pajak gadai konvensional dan tidak mempunyai unsur riba.

Bibliografi

Abi Syuja’. 2005. Fathul Qarib. Terbitan Dar Ibn Hazm
Al-Syafie. 1990. Al-Umm li al-Syafie. Terbitan Darul Ma’rifah: Beirut
Al-Harari. 2018. Syarh Sunan Ibn Majah lilharari. Terbitan Dar al-Minhaj
Khatib Syarbini. T.t. Al-Iqna’ hal alfaz Abi Syuja’. Terbitan Darul Fikir
Imam Qalyubi. T.t. Hasyiah Qalyubi. Terbitan Darul Fikir
Shamsiah Mohamad & Safinar Salleh. 2008. Upah Simpan Barang Dalam Skim Ar-Rahnu: Satu Penilaian Semula
HARAKAHDAILY 5/5/2021

Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Fatwa yang diterbitkan pada 4 Mei 2021.