Adakah Parlimen digantung selamanya, soal Kit Siang

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Lim Kit Siang menggesa Muhyiddin Yassin memberikan komitmen untuk Dewan Rakyat dipanggil bersidang sebelum 1 Ogos ini.

PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang menyuarakan kebimbangan terdapat senario Parlimen digantung selama-selamanya berdasarkan syarat ditetapkan Putrajaya di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional mahu Parlimen bersidang semula berdasarkan tiga syarat yang ditetapkan di bawah strategi keluar daripada Covid-19.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Parlimen hanya boleh dibuka dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

“Bagaimana sekiranya salah satu daripada keadaan ini tidak dicapai? Adakah Parlimen akan digantung selamanya?” soal Lim dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, janji perdana menteri untuk membabitkan pembangkang dalam kajian pembukaan semula Parlimen juga tidak bermakna, jika ia hanya akan diadakan pada September atau Oktober.

Ini kerana, katanya, tiada apa untuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang “nilai” mengenai pembukaan semula Parlimen memandangkan Parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

Lim berkata, Muhyiddin perlu memberikan komitmen untuk Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos bagi menunjukkan pihak eksekutif “tidak cuba mensabotaj harapan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja” dalam memerangi Covid-19.

Katanya, Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim menyatakan Ordinan Darurat 2021 memberi kuasa kepada Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Beliau berkata, “amat malang” Yang Dipertua Dewan Negara kelihatan lebih berani dan memahami hak serta keistimewaan Parlimen berbanding Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya seru Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mewakili kepentingan Ahli Parlimen dan bukannya menjadi wakil pihak eksekutif di Parlimen,” katanya merujuk Azhar Azizan Harun.