Adakala ibu menangis, rasa sunyi – Erysha Emyra

Adakala ibu menangis, rasa sunyi – Erysha Emyra

Lebih setahun pemergian Allahyarham bapa tirinya, Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad, pelakon, Erysha Emyra, mengakui keadaan ibunya, Datin Seri Noniswara, sudah tidak lagi sama seperti dahulu.

Dibelenggu dengan kesedihan dan rasa kekosongan di hati, sebagai anak, Erysha sedar perasaan itu sedang cuba disembunyikan oleh ibunya meskipun di wajah, wanita itu manis mengukir senyuman.

Bagi Erysha, amat mustahil untuk ibunya mudah melupakan pemergian suami tercinta memandangkan semasa hayat, bapa tirinya itu sangat akrab dengan ibunya dalam menjalani kehidupan sebagai suami dan isteri.

Disebabkan itu, adakala dia juga mencuba mencurah kenyamanan di hati ibunya, mencuba meminjamkan bahu meski sukar untuknya mengerti sepenuh perasaan seorang balu.

“Saya ada juga berbual secara hati ke hati dengan ibu. Dia pun sejenis yang akan bercerita sahaja dengan saya, begitu juga saya jika saya ada keluhan atau kegusaran di hati.

“Adakala dia juga ada sebut dengan saya yang dia berasa sunyi. Sebab dulu dia dengan arwah suami, memang akrab. Mereka berdua banyak luangkan masa bersama. Saya memahami perasaan dia.

“Kehilangan ini bukan kerana perceraian, tetapi yang memisahkan mereka berdua adalah kematian. Jadi ia sangat membekas di hatinya sebagai seorang isteri,”katanya.

Tambah pelakon drama Perempuan Itu dan Aku Bukan Ustazah ini, dia juga mengakui sayu apabila ibunya sesekali meluahkan rasa sunyi sambil menangis kerana merindukan arwah suami yang telah pergi buat selama-lamanya.

“Bila keadaan itu berlaku, saya pun adakala tidak tahu apa nak buat. Dia akan hubungi saya sebab dia tak tahu dengan siapa lagi hendak dia luahkan rasa di hati.

“Biasanya, kalau macam itu, saya pun mainkan peranan jugalah, cuba tenangkan hatinya. Tetapi hakikatnya, kita pun tidak tahu nak buat apa. Sebab itu kadangkala saya rasa bersalah juga,”katanya.

Jelas Erysha, rasa bersalah yang dirasakannya biasa terjadi apabila dia tidak dapat menemani ibunya ketika dia diperlukan sementelah sibuk dengan jadual kerja yang padat termasuk berada di set.

“Kalau saya sibuk di set, memang tak ada masa dengan ibu. Jadi, bila dia meluahkan rasa sedih ketika saya sedang sibuk, memang rasa bersalah sangat. Sebab itu bila ada masa, saya akan cuba bawa dia keluar, habiskan masa bersama, temani dia.

“Saya tengok, agak lama juga dia menanggung rasa sedih itu. Seakan ia sukar dibuang. Iyalah, setiap orang tak akan sama cara atau bagaimana dia mampu melupakan perasaan sedih.
“Cuma, berbanding sebelum ini, dia semakin okey kini,”katanya.

Restu ibu kahwin lagi
Ditanya sama ada dia terbuka dan merestui ibunya itu berkahwin lagi selepas ini, kata Erysha, andai jodoh ibu ada, dia lebih gembira jika keadaan itu berlaku.

Baginya, ibunya itu berhak untuk hidup bahagia.

“Buat masa sekarang, ibu memang tak ada lagi teman istimewa. Saya pun tak tahu andai dia simpan hasrat untuk berkahwin lagi atau tidak. Tetapi, jika ibu mahu berkahwin lagi, saya harap dia jumpa seorang lelaki yang ikhlas menerima dirinya.

“Saya harap bakal bapa tiri juga dapat menjaga ibu dengan baik, dapat hidup bersama untuk diri masing-masing sehingga ke akhir hayat,”katanya.

Diusik dengan pertanyaan sama ada dia rela ibunya berkahwin dahulu sebelum dirinya, Erysha menganggap semua itu urusan Allah.

“Eh, tak adalah. Tiada istilah siapa dahulu nak masuk ke fasa perkah­winan. Saya rasa dia pun tak pernah fikir begitu. Saya rasa dia okey sahaja dan tak fikir pun soal nak kahwin sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Ka­lau ada itu, adalah. Kalau ada jodoh, Insya­Allah. Saya pun nak cakap soal jodoh ini pun, tak pandai sebab rasanya lambat lagi bab kahwin ini.

“Saya pun nak bina kerjaya dahulu, mungkin bab kahwin itu, nantilah,”katanya.

Scroll to Top