PKR kekal dengan tradisi keterbukaan bersuara, namun Pengarah Komunikasinya, Adam Adli Abd Halim, menegaskan kelantangan itu perlu diseimbangkan dengan rasa tanggungjawab kerana parti kini memimpin Kerajaan MADANI.
Adam Adli tegaskan keadaan sudah berubah
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan keadaan sudah berubah berbanding ketika menjadi pembangkang, dan kini pemimpin wajar menyalurkan kelantangan kepada kerja yang memberi hasil kepada rakyat.
“Dalam keadaan hari ini, kita ialah kerajaan. Jadi, kebebasan bersuara dan rasa tanggungjawab sebagai anggota parti perlu diseimbang. Tak guna berdegar-degar, kerja perlu dibuat.
“Saya kira sebab kita sudah duduk dalam kerajaan, jadi perlu untuk melunaskan tanggungjawab serta kerja kita. Susah jika kita hanya bergantung kepada kelantangan tanpa membuktikan kemampuan untuk melunaskan tugas.
“Kena ingat, kita parti pemerintah. Kena adanya disiplin untuk tidak menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat,” katanya.
Adam Adli ingatkan pemimpin bukan sekadar cari populariti
Adam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjelaskan, ketika menjadi pembangkang, suara lantang adalah keperluan kerana tiada kuasa membuat dasar.
Namun, kini pemimpin perlu memimpin, bukan sekadar mencari populariti.
Parti punyai saluran dalaman baiki pentadbiran
Menyentuh sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli yang lantang mengkritik kerajaan, Adam berkata, parti mempunyai saluran dalaman untuk memperbaiki pentadbiran dan tindakan pucuk pimpinan yang tidak memanjangkan isu dianggap penutup baik.
Selepas pemilihan PKR Mei lalu, katanya, tumpuan parti kini adalah memperkemas komunikasi serta penyusunan semula, terutama di peringkat akar umbi.
“Biasalah dalam setiap pemilihan, pasti ada sedikit perselisihan di antara ahli akar umbi, apatah lagi PKR terkenal dengan budaya yang terbuka.
“Namun, proses penyatuan itu sudah berlaku dan itu proses semula jadi. Apabila mereka diberi tugas dan tanggungjawab, penyatuan itu akan mula bertaut semula,” jelasnya.
PKR sentiasa buka ruang buat pemimpin muda
Dalam pada masa yang sama, Adam Adli turut menepis tanggapan bahawa PKR hanya bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, parti sentiasa melahirkan pelapis muda termasuk Datuk Seri Amirudin Shari yang kini Naib Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor.
“PKR sentiasa membuka ruang kepada pemimpin muda,” ujarnya.
Artikel lain: Terima kasih PKR, beri kami akar umbi UMNO erti sebenar Kerajaan Perpaduan – Akmal
Beliau menyatakan bahawa PKR sudah membuktikan dengan memberi ruang kepada Datuk Seri Amirudin Shari yang bukan sahaja Naib Presiden Parti, bahkan Menteri Besar Selangor.
Sumber: Berita Harian (Suzalina Halid)