Adam Corrie pesan wanita elak kongsi masalah sebarangan

Adam Corrie pesan wanita elak kongsi masalah sebarangan

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Adam Corrie menasihatkan golongan wanita agar mengelak daripada meluahkan perasaan atau masalah menerusi mesej peribadi kepada artis, pempengaruh mahupun selebriti.

Corrie atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 58, berkata individu itu mungkin berniat berkongsi atau mencari pandangan, tetapi hakikatnya mereka perlu mencari pihak yang berkelayakan.

“Mereka bukan pihak yang sesuai untuk menyelesaikan masalah peribadi kita. Lebih baik kita bercerita dengan rakan atau individu yang benar-benar dipercayai. Zaman sekarang, macam-macam boleh berlaku.

“Kita perlu lebih berhati-hati agar tidak timbul salah faham, niat yang tidak baik atau perkara yang boleh membawa kepada situasi di luar kawalan. Orang ambil kesempatan pun ramai,” katanya.

Pelakon filem KL Gangster berkenaan juga berkata, peringatan itu juga ditujukan kepada dirinya juga selain sentiasa berpegang kepada nasihat isterinya Fazima Mohd Fuad.

Menerusi tangkap layar hantarannya pada 2022, Fazima selalu berpesan kepadanya sejak awal perkahwinan agar tidak melayan mana-mana wanita dengan apa niat atau tujuan sekali pun.

“Kalau ada anak gadis, wanita bujang, janda ataupun isteri orang yang suka bercerita masalah cinta ke atau rumah tangga, elakkan melayan sangat. Tak kisahlah peminat ataupun rakan.

“Takut mereka salah faham pula ingat kita suka kat mereka,” itu antara petikan dalam hantaran terbabit.

Adam Corrie turut menegaskan perkongsiannya itu bukan menyentuh mana-mana isu terkini, sebaliknya sekadar peringatan umum untuk diambil iktibar bersama.

“Semoga kita tidak tertipu dengan duniawi. Minta maaf saya cerita pengalaman saya dan nasihat isteri saya. Bukan isu semasa sekarang. Ini mengenai pengalaman saya bukan pasal orang lain,” katanya.

Katanya, bukan tidak boleh meminta pendapat atau pandangan, tapi perlu ada batasan bagi mengelakkan daripada terlanjur ke tahap memudaratkan.

“Minta pendapat itu dibenarkan, tapi cara bertanya juga perlu beradab dan ada batas. Apatah lagi bila membabitkan hal sensitif, sebaiknya sesama jantina dan ada ‘gap’ supaya tidak meleret ke perkara yang memudaratkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top