Adam Lee Tersentak Bertemu ‘Ayah’ Di Sarang Pelacuran Dalam ‘Bintang Di Langit Syawal’

Adam Lee Tersentak Bertemu ‘Ayah’ Di Sarang Pelacuran Dalam ‘Bintang Di Langit Syawal’

“Hanya ingin mengenali ayahnya, namun takdir membawa pertemuan di lorong gelap penuh dosa dan air mata”, demikian kisah menyayat hati yang menjadi nadi kepada drama terbaharu slot Samarinda TV3, Bintang Di Langit Syawal.

Drama rantaian terbaharu ini adalah sebuah karya penuh emosi yang mengangkat tema kasih sayang, konflik keluarga dan pencarian identiti diri.

Menemui penonton mulai 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam, Bintang Di Langit Syawal menampilkan kisah Syawal (lakonan Adam Lee), seorang anak yatim yang hidupnya dibayangi rasa sepi dan rindu terhadap kasih seorang bapa yang tidak pernah dikenalinya.

Namun, segalanya berubah apabila muncul lelaki misteri bernama Latif (Azhar Sulaiman) yang datang ke rumah kebajikan tempat Syawal dibesarkan dan meninggalkan sejumlah wang tanpa penjelasan.

Tindakan itu menimbulkan persoalan besar, hingga mendorong Syawal untuk mencari jawapan sebenar.

Menurut Adam Lee, watak Syawal memberi cabaran besar dari segi emosi dan penghayatan kerana ia menggambarkan perjuangans eorang remaja dalam pencarian ayahnya.

“Syawal menyimpan banyak luka batin. Sebagai anak yatim, dia hanya mahu disayangi, tapi perjalanan mencari ayahnya membuka kebenaran yang amat pahit.

“Saya cuba hidupkan watak ini sepenuh jiwa kerana ia menggambarkan perjuangan seorang remaja yang keliru, marah, tetapi sebenarnya dahagakan kasih,” katanya.

Selain Adam, karya arahan Bahri Umar, hasil tulisan Tommy Loh dan terbitan Sha’s Media ini diterajui oleh barisan pelakon hebat seperti, Scha Elinnea, Azhar Sulaiman, Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef dan Shalma Eliana.

Drama 15 episod ini menjanjikan jalan cerita yang sarat konflik, kehilangan dan penerimaan yang menguji emosi penonton.

Jangan lepaskan tayangan perdana Bintang Di Langit Syawal pada Khamis ini, hanya di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut mengenai drama terkini, ikuti laman sosial rasmi TV3 Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok, X (Twitter) dan akaun @dramasangat di Instagram.

Scroll to Top