Adegan berkemban bukti profesionalisme Ranea Ezreen

Adegan berkemban bukti profesionalisme Ranea Ezreen

PADA asalnya, Ranea Ezreen mahu membesarkan cita-citanya sebagai penyanyi membuatnya menyertai Ceria Megastar Ministar pada 2019. Bagaimanapun, siapa tahu tuahnya sebagai pelakon lebih menyerlah apabila karakter Dewi, seorang gadis penggoda dalam siri Bidaah mencuri perhatian sehingga ke negara seberang.

Ranea atau Nur Ranea Ezreen Luqman, 20, bersyukur kerana tergerak hati mahu mengikuti sesi ujibakat lakonan oleh Erma Fatima sebelum ini. Kini, penerbit dan pengarah tersohor itu sekali lagi mempercayai Ranea Ezreen apabila lebih memperkukuh watak Dewi menerusi sekual Walid yang bakal ditayangkan Ramadan ini.

“Dalam Bidaah, watak Dewi lebih santai dan bersahaja, namun apabila memasuki Walid, penonton akan melihat Dewi yang berbeza lebih manja, mengada-ngada berbeza dengan personaliti saya,” katanya kepada Pancaindera.

Membawakan watak yang memerlukan karakter yang lincah dan menggoda bukanlah sesuatu yang mudah buat pelakon muda ini.

Adegan berkemban bukti profesionalisme Ranea Ezreen

Namun, bagi Rania, setiap watak adalah cabaran yang perlu digalas dengan penuh profesionalisme demi kepuasan penonton. Malah dalam siri Walid, Rania turut terlibat menjayakan adegan berani berkemban dalam air terjun dengan suara menggoda.

Menyentuh mengenai babak tersebut, Rania tidak menafikan bahawa ia adalah satu pengalaman yang amat mencabar, terutama dari sudut fizikal.

“Waktu itu saya kena masuk dalam air terjun. Sejuk bukan kepalang saya sampai menggigil,” ceritanya.

Walaupun sedar babak tersebut mungkin mengundang persepsi negatif, Rania memilih untuk melihatnya dari sudut seni dan tuntutan skrip.

Baginya, sebagai seorang pelakon, dia harus berani menggalas tanggungjawab asalkan masih dalam batasan yang boleh diterima.

Menjelaskan lebih lanjut, Rania mendedahkan bahawa dia sebenarnya memakai pakaian perlindungan di dalam kain kemban tersebut.

“Saya memakai tube dan seluar pendek di dalam kain batik. Penonton mungkin tidak tahu, tetapi keselamatan dan maruah tetap saya jaga.

“Macam saya sendiri kalau di dunia nyata dan di media sosial peribadi pun pernah hanya memakai tube. Jadi, kalau untuk adegan begitu saya akan pastikan semuanya terjaga. Tapi bila penonton tengok, adegan tu masih nampak meyakinkan,

“Tapi saya sudah bersedia sekiranya selepas babak itu saya akan menerima kecaman,” katanya ketawa.

Dia sedar bahawa dalam dunia media sosial hari ini, setiap gerak-geri pelakon akan diperhatikan dan dinilai oleh masyarakat.

Namun, fokus utamanya tetap kepada kualiti lakonan dan bagaimana dia dapat menghidupkan naskhah tersebut dengan berkesan.

Bekerja dalam siri Walid juga memberi peluang keemasan buatnya untuk menimba ilmu daripada pelakon-pelakon otai termasuk Faizal Hussein, Aqasha, Datuk A. Tamimi Siregar dan Vanidah Imran.

“Hari pertama di set penggambaran, jantung saya berdegup kencang. Rasa sangat kerdil di hadapan mereka yang sudah mempunyai nama besar.

“Tapi saya bersyukur kerana semua orang memberikan tunjuk ajar dan saling merendah diri termasuk Uncle Faizal.

“Di luar set, Uncle Faizal melayan saya seperti anaknya sendiri, tetapi sebaik sahaja kamera berpusing, kami harus menjadi profesional,” jelas Rania lagi.

Begitu juga bekerja bersama Erma, walau dikenali sebagai seorang yang tegas di set, Rania menyifatkan ketegasan itu sebagai satu bentuk didikan yang berharga.

“Mama Erma sangat baik. Ketegasannya adalah untuk memastikan setiap babak yang dihasilkan berkualiti tinggi,” ujarnya menutup bicara.

Scroll to Top