Adidas mohon maaf tampil bekas tentera Israel dalam kempen

BERLIN: Syarikat pakaian sukan Jerman, Adidas, memohon maaf pada Isnin selepas kempen pengiklanannya yang menampilkan bekas anggota tentera Israel mencetuskan kecaman dan gesaan untuk memboikot syarikat berkenaan, lapor Anadolu.

Kempen itu menampilkan Shalev Biton, yang kaki kirinya dipotong selepas cedera ketika berkhidmat dalam tentera Israel pada 2021, bagi mempromosikan perkhidmatan Single Shoe Adidas.

“Kami menyedari imej yang digunakan dalam satu aktiviti tempatan baru-baru ini oleh pasukan tempatan kami menimbulkan kebimbangan dan reaksi hebat.

“Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa dan memohon maaf kepada mereka yang terkesan,” kata Adidas dalam satu kenyataan, sambil menjelaskan promosi berkenaan merupakan inisiatif tempatan dan bukannya sebahagian daripada kempen global.

Biton adalah antara 11 atlet kelainan upaya yang ditampilkan dalam poster yang dipamerkan di kedai-kedai Adidas di Israel.

Aktivis pro-Palestin mengkritik keputusan menampilkan bekas anggota tentera Israel dalam kempen yang memberi tumpuan kepada golongan yang kehilangan anggota badan, dengan membandingkannya dengan ribuan rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan akibat perang Israel di Gaza.

Anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Mei menunjukkan Gaza merekodkan lebih 5,000 kes amputasi anggota badan akibat kecederaan trauma serta lebih 22,000 kecederaan serius pada anggota badan sejak Oktober 2023.

Menurut WHO, sehingga satu perempat daripada mereka yang mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan itu adalah kanak-kanak.

Pelakon Sepanyol, Javier Bardem, antara yang menggesa pengguna memboikot syarikat berkenaan susulan promosi itu.

Adidas berkata, perkhidmatan Single Shoe diperkenalkan bagi menggalakkan keterangkuman dengan membolehkan individu yang kehilangan atau mempunyai perbezaan pada anggota badan membeli hanya kasut yang diperlukan.

Syarikat itu memperkenalkan perkhidmatan berkenaan di 23 negara Eropah pada Januari lalu, dengan menawarkan kasut secara individu pada harga 50 peratus daripada harga sepasang kasut di kedai dan cawangan milik Adidas.

Perkhidmatan itu dibangunkan melalui rundingan dengan kumpulan dan organisasi golongan kurang upaya, termasuk ParalympicsGB.

Adidas berkata program itu sedang diperluaskan ke seluruh Eropah, Asia dan Asia Barat, termasuk Palestin, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Mesir.

Syarikat itu berkata pihaknya akan terus mendengar, belajar dan berusaha memastikan tindakan kami mencerminkan nilai keterangkuman yang kami perjuangkan.

Scroll to Top