Adik dedah suspek tikam nenek sering alami gangguan, berhalusinasi

Adik dedah suspek tikam nenek sering alami gangguan, berhalusinasi

am@hmetro.com.my

Baling: “Abang mengalami gangguan dan berhalusinasi, malah kadang-kadang cakap seorang diri. Keadaan itu sejak usianya 18 tahun tetapi dia tak kacau orang.

“Lepas dia tikam tok (nenek) dan tetak moyang, dia suruh buat laporan polis sambil beritahu suruh datang tengok tok pengsan ka apa ka,” kata seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Dia adalah adik kepada suspek lelaki yang ditahan polis selepas dipercayai menikam neneknya yang berusia 65 tahun sehingga meninggal dunia, manakala moyangnya yang berusia 80 tahun ditetak di leher hingga parah di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, di sini semalam.

Katanya, ketika kejadian, hanya nenek, moyang dan ibu saudaranya berusia 28 tahun berada di rumah itu bersama abangnya (suspek), manakala bapa saudaranya yang tinggal bersama di rumah itu tiada di rumah.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa tok dan moyang selepas menerima panggilan daripada ibu saudara pada 6.44 petang semalam.

“Ketika itu, saya teman emak balik ke Penaga, Pulau Pinang kerana kami menetap di sana dan terkejut dengan apa yang berlaku, ” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Katanya, dia dan abangnya selalu datang bermalam di rumah neneknya itu di situ.

“Abang pula dah lama tak balik sini tetapi dia tiba-tiba ajak mak balik sini, walaupun mak kata tak ada duit, dia ajak balik sini juga hinggalah kejadian itu berlaku, ” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu kenapa abangnya bersikap sebegitu sedangkan lelaki itu tidak mengganggu orang lain.

Katanya, abangnya itu adalah anak yang sulung, manakala dia pula anak kedua dan yang bongsu dalam keluarga.

“Dia pernah kata kat mak saya, cepat la sikit bawa dia balik sini, mak saya kata dia tak ada duit nak balik macam mana.. Tak pa kami ada duit sambil beritahu, kalau mak tak balik, mak akan menyesal.

“Lepas itu mak bawa juga abang balik tinggal di sini tetapi masa kejadian saya tak ada di sini sebab teman mak balik ke Penaga sebab dia takut balik seorang.

“Abang tak kerja apa. Dia kan tak sihat macam tu tak boleh kerja dan saya tak sangka kejadian ini berlaku, ” katanya.

Menurutnya lagi, selepas dia tikam neneknya, dia beritahu neneknya tidak sedarkan diri dan meminta ahli keluarga membuat laporan polis memaklumkan kejadian itu.

“Lepas kejadian, abang kata lekas, tengok tok tu, pengsan ka apa tak tau. ‘Pi’ buat ‘report’ polis cepat, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top