norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Rita Rudaini yang meraikan hari jadi ke- 50 pada 11 April lalu terharu menerima hadiah daripada anak keduanya, Airit Qaqa Arjuna, 15, yang membuat kejutan menghadiahkan sejambak bunga.
Rita atau nama sebenar Rita Rudaini Mohammad Mokhtar sama sekali tidak menduga anak bongsunya itu seorang yang ‘sweet’ dengan menggunakan ‘duit raya’ dikumpul untuk membeli hadiah istimewa itu.
“Balik dari ‘game’ (perlawanan) bola..dia buat ‘surprise’ (kejutan) bagi bunga..’so sweet’ (romantis) adik..
“Adik beli macam mana?,
“Adik guna duit raya adik,”
“Mommy selalu doakan anak-anak mommy diberi akhlak yang tinggi. Terima kasih anak-anak mommy,” tulis Rita pada kapsyen foto dimuatnaik di Instagram (IG).
Meninjau pada ruangan komen, rata-rata netizen gembira berkongsi kebahagiaan Rita bersama anak-anaknya dan kagum dengan keluarga kecil wanita cekal itu.
“Mommy cantik..wah bagusnya Adik. Sayang sangat mommy tu,” tulis warganet.
“Alhamdulillah, sannah helwah. Selamat hari lahir, panjang umur yang berkat, dilimpahi rezeki dan sihat,” komen netizen.
“Romantisnya Adik. Semoga Rita selalu dalam rahmat dan kasih Allah,” ujar seorang wargamaya.
“Diratukan oleh anak-anak. ‘Good job boys’ (tahniah buat anak lelaki),” kata pengguna media sosial.
Manakala, pada hantaran dimuatnaik anak sulung Rita iaitu Airit Rayyan Rizqin, 17 di IG, remaja itu mendoakan agar ibunya terus menjadi wanita kuat yang menjadi idolanya.
“Selamat ulang tahun yang ke-50 kepada wanita terkuat, idola saya sejak hari pertama saya (dilahirkan)..
“Semoga hidup anda dipenuhi dengan semua kebahagiaan yang anda berikan kepada orang lain,” tulis Rayyan berserta tiga emoji hati berwarna merah.
Menariknya lagi, Rayyan berkongsi beberapa foto mereka sekeluarga sering bertiga ke mana sahaja ketika dia dan adiknya, Airit Qaqa Arjuna masih kecil.
Terdahulu, Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak, 39, pada 2008, namun jodoh tidak panjang apabila mereka bercerai pada 2013.
Selama lima tahun berumah tangga, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang kini dijaga serta dibesarkan sepenuhnya oleh Rita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




