Adik minat ikut jejak Amir Ahnaf ceburi bidang seni

Adik minat ikut jejak Amir Ahnaf ceburi bidang seni

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya beritahu padanya, realiti dalam industri hiburan ini memang susah dan mencabar, tambah pula kalau wajah sama dengan saya,” kata pelakon, Amir Ahnaf.

Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, memaklumkan demikian ketika ditanya sama ada dia memberi sokongan pada adiknya, Aleef untuk mengikut jejak dalam bidang seni.

Menurutnya, dia tidak pernah menghalang minat adiknya untuk menceburi bidang seni tanah air.

“Adik saya memang berminat nak jadi pelakon. Cumanya, saya sudah pesan awal-awal lagi menyanyi itu susah tetapi berlakon lagi susah.

“Tapi saya tak halang dia nak cuba pergi ‘casting’ (uji bakat) atau menceburi bidang seni.

“Jika dia nak buat ‘modelling’ (peragaan) atau apa pun, saya okay saja,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka filem aksi TARUNG : Unforgiven di sini.

Mengulas lanjut, kata pelakon filem Kahar: Kapla High Council itu, dia lebih menggalakkan adiknya menceburi bidang nyanyian memandangkan bakat yang dimilikinya itu.

Katanya, dia juga merancang untuk membuka syarikat produksi muzik sendiri sekali gus mengetengahkan bakat adiknya itu.

“Saya mahu meneroka cabang seni muzik pula dan ketengahkan bakat adik kerana dia pandai menyanyi.

“Jadi, dalam tempoh lima tahun ini, saya sedang berusaha untuk membina syarikat produksi muzik sendiri supaya boleh membantu mengetengahkan bakat adik-adik saya,” katanya.

Terdahulu, Amir ditanya sama ada dia memberi sokongan pada minat adiknya, Aleef untuk mengikut jejaknya menjadi pelakon sama seperti pelakon popular Syafiq Kyle dan adiknya, Syazwan Razak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top