am@hmetro.com.my
Baling: “Adik berhasrat untuk menjamu ahli keluarga makan selepas menerima duit hasil jualan getah beku, hari ini. Sepatutnya kami semua berkumpul dan makan bersama.
“Dia sempat masak pelbagai masakan termasuk laksa yang menjadi kegemarannya, namun hasratnya tidak kesampaian selepas meninggal dunia dalam kemalangan,” kata Nurul Wahida Rohani Takiyudin, 36.
Nurul Wahida adalah kakak ipar kepada Nor Amalina Ishak, 33, yang maut selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan lori berhampiran Klinik Kesihatan Kampung Landak, Kupang, hari ini.
Menurutnya, arwah sempat membuat panggilan video pada 12 tengah hari, kira-kira empat jam sebelum kemalangan itu dan dia tidak menyangka ia perbualan terakhir mereka.
“Arwah ketika itu dalam perjalanan dari rumah di Kampung Mengkuang Tengah menghala ke rumah rakannya di Kupang, dipercayai hendak mengambil makanan yang ditempahnya.
“Arwah sebelum ini tidak pernah membuat panggilan video tetapi dia hendak sangat melihat anak-anak saya kerana dia rapat dengan mereka terutamanya yang bongsu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, adik iparnya turut meminta maaf ketika itu dan apabila ditanya, Nor Amalina hanya menjawab hanya mahu memohon kemaafan.
“Bila dia dah tiada, barulah saya tahu yang itulah petanda dia nak tinggalkan kami semua,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali mengesahkan kemalangan berlaku pada 4.05 petang, membabitkan mangsa dan lori dipandu lelaki berusia 45 tahun.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat dan pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd