harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang diletakkan di bawah jagaan nenek saudara mereka sejak 18 bulan lalu kini kembali ke pangkuan bapanya.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kasim berkata, perkara itu diputuskan mahkamah dalam satu prosiding hari ini.
“Benar dia sudah kembali di bawah jagaan bapanya, dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak mahkamah petang tadi.
“Antara syarat, JKM perlu dibenarkan untuk membuat lawatan ke atas kanak-kanak itu dan JKM akan membuat pemeriksaan dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun itu kembali di bawah jagaan bapanya, Zaim Ikhwan Zahari, 30.
Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 di kediamannya di Apartment Idaman, Petaling Jaya ditemukan sudah tidak bernyawa pada keesokannya.
Pada 13 Jun tahun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, dan Zaim Ikhwan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya
Tahun ini, pada 21 Julai lalu, mahkamah mengarahkan membela diri, manakala Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka.
Pada 31 Oktober lalu, Ismanira didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya itu dua tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




