ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Petinju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi sedia kembali ke gelanggang buat pertama kali tahun ini bagi memburu gelaran IBF Asia Pasifik di Bangkok, Thailand, bulan depan.
Menurut Adli Hafidz yang juga terkenal dengan gelaran ‘Golden Boy’, beliau sudah mula membuat persiapan rapi sejak dua bulan lalu dan bakal berentap sama ada dengan wakil tuan rumah, petinju Korea Selatan atau Filipina.
“Selepas muncul juara kategori Light Heavyweight WBC Asian Continental dengan menumbangkan jaguh Thailand, Tanawat Ketsiri, saya kini dalam persiapan untuk pertarungan sulung bagi 2024,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Ujarnya, sepanjang dua bulan ini, dia mempersiapkan diri dengan menjalani latihan di tiga lokasi berbeza iaitu di Johor Bahru, Singapura dan Institut Sukan Negara (ISN) di Kuala Lumpur.
“Saya akan tampil di gelanggang sama iaitu di Spaceplus, Bangkok bagi merebut kejuaraan IBF Asia Pasifik dan segala persiapan sudah diatur jurulatih, Wilip Ho.
“Selepas pertarungan di sana nanti, saya akan membincangkan untuk aksi kedua tahun ini.
“Saya mensasarkan tiga pertarungan bagi 2024, dengan perancangan teliti ini sudah mula dilakukan sejak tahun lalu, sebaik sahaja memenangi gelaran Light Heavyweight WBC Asian Continental,” katanya yang berusia 35 tahun.
Rekod terkini petinju kelahiran Johor itu sejak bergelar profesional ialah 13-1 dan pernah meraih pingat perak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Menurutnya, walaupun sudah berusia 35 tahun, dia tetap ingin menjadi petinju profesional masih aktif dan memegang gelaran terbanyak sepanjang karier.
Tambahnya, latihan yang dijalankan di Johor dan Singapura lebih kepada teknikal dan di ISN pula menjurus ke arah ujian kecergasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




