Adrian rindu Andre, belum mampu bayang Aidilfitri tanpa abang

Adrian rindu Andre, belum mampu bayang Aidilfitri tanpa abang

Kuala Lumpur : Anak kedua pelakon, Amyza Aznan, Adrian Adam Khairil Idzhar, 18, mengakui masih merindui figura abangnya, Allahyarham Andre Mikael yang meninggal dunia pada 23 Januari lalu akibat kanser paru-paru tahap tiga.

Adrian berkata, dia masih belum dapat membayangkan bagaimana sambutan Aidilfitri tahun ini tanpa kehadiran Andre di sisi keluarga.

“Saya rindukan Andre. Sepanjang kami membesar bersama, kami adik-beradik tidak pernah bergaduh.

“Setakat ini saya belum terfikir sama ada mahu memakai baju raya warna kuning yang Andre pilih sebelum ini. Kami juga masih belum memikirkan mengenai sambutan raya,” katanya ditemui BH Online di Angkasapuri, di sini, petang tadi.

Sementara itu, Adrian yang disahkan menghidap kanser tulang pada hari pertama Ramadan berharap diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk melalui ujian itu.

Katanya, dia cuba kekal positif dan tidak membiarkan penyakit yang dihidapinya menjejaskan emosi.

“Saya sentiasa berfikiran positif. Setakat ini saya tidak rasa tertekan atau murung.

“Fokus saya sekarang adalah untuk sembuh dan saya tidak putus berdoa agar diberikan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Adrian berkata, keadaan kesihatannya menyebabkan dia terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian dalam bidang muzik.

“Memang sebelum ini saya bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang muzik, tetapi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada rawatan,” katanya.

Terdahulu, Adrian bersama Amyza hadir ke Angkasapuri bagi bertemu Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Menurut Amyza, pertemuan itu turut membuka ruang kepada Adrian untuk mendapatkan bantuan berkaitan rawatan.

“Tadi Timbalan Menteri menyampaikan sumbangan dan berjanji untuk membantu memastikan Adrian mendapat tempat rawatan yang sesuai dan terbaik.

“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan beliau, begitu juga seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti kisah kami.

“Kami sangat terharu dengan doa dan kata-kata semangat yang diberikan. Ia sedikit sebanyak mengubat kedukaan di hati kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top