am@hmetro.com.my
Gua Musang: Cuaca hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim bersama rombongan terkandas di kawasan penempatan Orang Asli Pos Balar di sini, sejak semalam.
Mohd Syahbuddin bersama enam lagi rombongan dengan menaiki dua pacuan empat roda hadir ke pos penempatan Orang Asli untuk menyampaikan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, Pos Bihai dan SK Balar, Pos Balar.
Selain itu, mereka mahu menyantuni penduduk Orang Asli bagi mendengar keluhan dan aduan mereka menjelang musim tengkujuh.
Menceritakan kembali kejadian, Mohd Syahbuddin berkata, sejurus berakhir program SK Balar, beliau bersama rombongan bergerak pulang kira-kira 6 petang dan ketika itu, hujan.
Katanya, apabila sampai di Bukit Piyel, Pos Balar, pacuan empat roda yang dinaiki beliau terkandas kerana jalan rosak teruk selain sebuah kenderaan lagi pecah tayar.
“Selepas tiga jam terkandas di Bukit Piyel, saya terpaksa membuat keputusan untuk kembali ke SK Balar dan menumpang bermalam di situ kerana memikirkan keselamatan saya dan rombongan.
“Kira-kira 10 malam, kami sampai ke SK Balar untuk bermalam dan akan meneruskan perjalanan pada hari ini apabila cuaca mengizinkan.
“Terima kasih kepada pihak pentadbir dan guru yang sudi membantu, dengan ihsan mereka, membenarkan saya dan rombongan menumpang di sini,” katanya ketika ditemui di SK Balar, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Syahbuddin, dia bersama rombongan terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira lima kilometer (km) dan melalui jambatan gantung besi yang merentasi Sungai Balar untuk ke Kampung Peng bagi mendapat bantuan daripada penduduk.
“Alhamdulillah, kami semua selamat sampai di Kampung Peng selepas berjalan kaki selama lima km dalam keadaan hujan renyai-renyai untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung.
“Seorang wakil penduduk sudah menunggu di seberang Sungai Balar dengan sebuah pacuan empat roda untuk ke menghantar kami sekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




