AEON Style penyewa utama Setia EcoHill Walk

AEON Style penyewa utama Setia EcoHill Walk

Kuala Lumpur: Perbandaran utama SP Setia Bhd, Setia EcoHill telah memperoleh Pasar Raya AEON Style sebagai penyewa utama untuk pusat beli-belah komersial Setia EcoHill Walk, cawangan berkenaan dijadual dibuka pada 12 Disember 2025.

SP Setia dalam satu kenyataan berkata pasar raya itu akan menduduki kawasan seluas 20,408 kaki persegi di Setia EcoHill Mall, menandakan cawangan konsep barangan runcit premium pertama AEON di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Datuk Zaini Yusoff berkata AEON Style akan memberi perkhidmatan kepada komuniti perbandaran yang semakin berkembang, pada masa sama menarik pembeli dari kawasan Semenyih dan Bangi secara lebih meluas.

“Kami yakin Pasar Raya AEON Style akan membawa lebih banyak daya tarikan kepada perbandaran Setia EcoHill yang matang dan berkembang maju, seiring dengan falsafah SP Setia untuk mewujudkan komuniti yang mampan dan memperkayakan gaya hidup,” katanya.

AEON Style memberi tumpuan kepada menambah baik pengalaman ketika berada di pasar raya, menawarkan pelbagai jenis produk segar, barangan import dan barangan dari Jepun serta barangan organik.

Setia EcoHill Mall, pusat beli-belah gaya hidup kejiranan seluas 280,000 kaki persegi dengan 2,000 ruang letak kereta, merupakan sebahagian daripada kawasan komersial strategik selain Setia EcoHill Taipan dan Setia EcoHill Walk, menyediakan pasar raya dengan persekitaran meriah untuk memenuhi pelbagai keperluan komuniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top