Sydney: Satu penerbangan Qantas dari Sydney ke Johannesburg tertunda hampir sehari selepas pesawat itu dilanggar oleh sebuah aerobridge, lapor Xinhua.
Penerbangan QF63 sedang berada di pintu berlepas di Lapangan Terbang Sydney dan bersedia untuk berlepas pada 9.30 pagi Sabtu apabila sebuah aerobridge terlanggar satu daripada empat enjin pesawat Airbus A380 itu, menyebabkan kerosakan.
Penumpang yang menaiki pesawat kemudiannya turun melalui dek bawah pesawat.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Qantas dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan tertangguh selama 21 jam dan sebuah pesawat gantian dijadualkan berlepas pada 6.45 pagi Ahad.
Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan yang satu siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana aerobridge boleh berlanggar dengan pesawat.
“Pesawat akan diperiksa oleh jurutera di Sydney dan dibaiki sebelum kembali beroperasi,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd