firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi ‘amaran’ agar pihak ketiga khususnya kerajaan supaya berhati-hati dalam sebarang kenyataan membabitkan urus tadbir Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dibimbangi boleh ditakrifkan sebagai campur tangan.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang berharap semua pihak terutama kerajaan perlu berhati-hati agar tidak melangkaui batas yang boleh mengundang penggantungan.
Windsor berkata, meskipun FAM sedang berdepan krisis susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kerajaan tetap tidak boleh mengeluarkan arahan atau tekanan kepada mana-mana pegawai FAM untuk berundur kerana ia membabitkan autonomi sebuah persatuan yang dipilih oleh ahli gabungan dalam kongres.
“Walaupun FAM dalam krisis, kementerian atau menterinya tidak boleh mengarahkan pegawai FAM untuk berundur. Tak boleh kerana mereka dipilih oleh ahli gabungan.
“Bila buat ‘statement’, kena berhati-hati supaya tidak melanggar kebebasan FAM,” katanya berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan penggantungan tujuh pemain Malaysia dan denda ekoran dakwaan pemalsuan dokumen.
Menurut Windsor, kerajaan sememangnya antara pemegang taruh terbesar dalam ekosistem bola sepak, namun peranan mereka adalah untuk membantu pembangunan, bukan mengurus atau menentukan pentadbiran persatuan.
“Tak boleh masuk campur, tak boleh memberi apa-apa arahan, tidak boleh mempengaruhi,” katanya sambil mengingatkan integriti persatuan perlu dihormati mengikut peraturan FIFA.
Semalam, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan pihaknya tidak akan mencampuri urus tadbir FAM walaupun mungkin tidak berpuas hati dengan prestasi persatuan itu.
Beliau memberi contoh, terdapat dakwaan Menteri Belia dan Sukan sepatutnya memecat semua AJK FAM, namun tindakan itu tidak dibenarkan.
Terdahulu, FIFA menolak rayuan FAM, sekali gus mengekalkan semua hukuman termasuk penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,374) kepada setiap pemain.
FAM turut dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta).
FAM memaklumkan akan membawa isu berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar keputusan FIFA itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




