
AFC mengesahkan kes membabitkan FAM dan beberapa pemain kebangsaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk tindakan dan pertimbangan lanjut.
KUALA LUMPUR – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mengambil maklum mengenai keputusan dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beberapa pemain kebangsaan.
Menerusi kenyataan pada Jumaat, AFC mengesahkan perkara terbabit kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk tindakan dan pertimbangan lanjut.
Difahamkan, badan induk itu tidak memberikan sebarang komen mengenai siasatan atau prosiding yang sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika itu.
Semalam, CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan, Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Panel CAS berpendapat bahawa denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas FAM berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – Bernama
Ringkasan AI
- Konfederasi Bolasepak Asia mengambil maklum keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan berkaitan kes FAM dan pemain kebangsaan
- Kes tersebut akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk tindakan lanjut
- AFC tidak memberi komen mengenai siasatan atau prosiding yang sedang dijalankan
- CAS membenarkan sebahagian rayuan pemain Harimau Malaya terhadap FIFA berkaitan hukuman pemalsuan dokumen naturalisasi
- Denda CHF 350,000 ke atas FAM dianggap wajar dan kekal berkuat kuasa



