Afdlin nafi terbabit salah laku berkaitan perolehan projek benilai RM10 juta
Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 54, menolak dakwaan terbabit dalam sebarang salah laku berkaitan perolehan projek di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tular di media sosial.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Afdlin menegaskan tuduhan itu adalah fitnah yang sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan reputasinya.
“Pertama sekali saya menafikan sekeras- kerasnya apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek itu.
“Ini adalah satu usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.
“Saya sudah membuat laporan polis bersama pihak berkaitan untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini. Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” tulisnya.
Dalam masa sama, Afdlin turut menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan yang menjalankan siasatan berkaitan perkara ini.
“Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Saya yakin dan pasti dengan izin Allah, akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” tulisnya.
Terdahulu, tular dalam aplikasi telegram Edisi Siasat yang mendakwa Afdlin yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL antara yang terbabit dengan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.
Pendedahan yang mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam takbir urus DBKL.
Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




