lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Affin Bank Berhad (Affin Bank) menandatangani perjanjian pembiayaan strategik bernilai RM500 juta bersama Macrovalue Six Sdn Bhd, bagi menyokong pengambilalihan dua jenama runcit ikonik, Cold Storage dan Giant di Singapura.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama itu menandakan satu lonjakan besar dalam landskap runcit ASEAN dan memperkukuh kedudukan Affin sebagai pemain utama dalam menyediakan pembiayaan berimpak tinggi di peringkat serantau.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen kami dalam memperkasa usaha transformatif yang mempercepatkan pertumbuhan serantau dan memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam perdagangan ASEAN.
“Ia juga mencerminkan keupayaan kami dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan rentas sempadan yang inovatif, bagi membolehkan perniagaan berkembang melangkaui batas negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Agil Natt; Pengerusi Eksekutif Kumpulan GCH Retail, Datuk Andrew Lim dan Pengarah Pengurusan Kumpulan GCH Retail, Datuk Gary Yap.
Wan Razly berkata, melalui perjanjian ini, Macrovalue akan mengambil alih Cold Storage Singapura yang kini dimiliki oleh Kumpulan DFI.
“Pengambilalihan ini merangkumi francais Giant, Cold Storage serta beberapa entiti lain di bawah DFI.
“Langkah strategik ini bakal meningkatkan jumlah keseluruhan cawangan Giant dan Cold Storage kepada 186 di Malaysia dan Singapura, sekaligus meletakkan Macrovalue di tengah-tengah pasaran runcit Singapura yang dianggarkan bernilai AS$6.6 bilion pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$7.7 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Katanya, Affin Bank bertindak sebagai pembiaya utama, manakala Affin Hwang Investment Bank memainkan peranan sebagai penasihat kewangan dalam struktur pembiayaan komprehensif ini, yang bukan sahaja menyokong pengambilalihan, tetapi juga pengoptimum modal jangka panjang dan peluasan serantau.
“Di Affin, kami berusaha menjadi pemangkin pertumbuhan dan arkitek peluang. Kerjasama ini adalah cerminan semangat inovasi, daya tahan dan kepercayaan yang menjadi asas kejayaan kami selama 50 tahun,” katanya.
Cold Storage yang diasaskan sejak 1903 adalah perintis dalam sektor runcit Singapura, manakala Giant yang bermula di Malaysia pada 1944 kini menjadi antara jenama pasar raya terbesar di rantau ini.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, DFI akan menubuhkan entiti baharu untuk terus mengendalikan perniagaan 7-Eleven dan Guardian di Singapura.
Wan Razly turut menekankan bahawa inisiatif ini memperlihatkan peranan penting Affin dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau, seiring dengan aspirasi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
“Dengan peluasan antarabangsa yang berani ini, kami yakin ia akan membuka peluang baharu bukan sahaja untuk Macrovalue, tetapi juga bagi Kumpulan Affin dalam meneroka pertumbuhan bermakna di seluruh ASEAN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd