LIGA Bolasepak Amatur (AFL) telah menangguhkan dua aksi awal membabitkan pasukan Kelantan Red Warriors (KRW FC) dalam saingan Liga A1 Semi-Pro yang akan membuka tirainya pada Sabtu ini.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kelonggaran itu diberikan kepada KRW FC selepas kelab itu masih berdepan sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurutnya, KRW FC diberi ruang untuk menyelesaikan isu tersebut dengan FIFA sehingga 14 Ogos ini.
“KRW FC telah menerima surat daripada FIFA yang menyatakan mereka entiti sama seperti Kelantan FC menyebabkan pendaftaran pemain disekat sehingga 14 Ogos.
“Lembaga Pengarah AFL bersetuju memberikan kelonggaran untuk menangguhkan dua perlawanan awal KRW FC kerana mereka tidak mempunyai pemain untuk diturunkan,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Mohd Yusoff berkata, AFL juga masih membuka jendela pendaftaran pemain sehingga 25 Ogos dan KRW FC dibenarkan beraksi semula sekiranya sekatan FIFA itu berjaya diselesaikan selepas tarikh tersebut.
“Buat masa ini, pihak AFL alu-alukan kedatangan KRW FC kerana mereka sudah buat persiapan yang bagus dengan menandatangani kontrak jurulatih dan pemain lebih awal.
“Jadi, kita berikan sedikit masa untuk mereka selesaikan segala perkara berbangkit,” katanya.
Mengikut jadual perlawanan, KRW akan memulakan saingan Liga A1 menentang Selangor FC pada 4 Ogos dan kemudiannya menentang Seoul Phoenix pada 10 Ogos.