Afrika berdepan kesukaran dapatkan vaksin COVID-19

Afrika berdepan kesukaran dapatkan vaksin COVID-19

ADDIS ABABA: Afrika kini berdepan kesulitan bagi memberi suntikan COVID-19 selepas beberapa negara dikesan mungkin kehabisan vaksin dan tidak diketahui bila stok akan diperoleh semula.

Ketika ini, pegawai kesihatan berharap sekurang-kurangnya dapat memberi pelalian kepada 20 peratus daripada lebih satu bilion penduduk di benua itu menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, banyak negara Afrika yang hanya bergantung kepada vaksin AstraZeneca buatan India dan diedarkan menerusi skim COVAC khuatir matlamat itu gagal dicapai.

Ini berikutan India pada bulan lalu mengumumkan mahu menghentikan seketika pembekalan vaksin itu kepada negara lain ketika dunia berdepan gelombang jangkitan baharu.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Afrika CDC), Dr John Nkengasong, berkata mereka kini berdepan kesukaran apabila vaksin dihadkan dan memberi kesan terhadap program inokulasi.

Beliau turut mendedahkan, negara seperti Ghana berdepan pengurangan bekalan suntikan antara 70 hingga 80 peratus, yang sebelum ini dijanjikan menerusi inisiatif COVAX di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Meskipun Ghana mempunyai wang sekali pun, kita tidak tahu di mana untuk mendapatkan vaksin kerana bekalan amat terhad.

“Ini berita buruk bagi mereka yang sudah disuntik dos pertama kerana kami tidak boleh jangka bila akan memperoleh dos kedua,” katanya yang memaklumkan AstraZeneca memerlukan suntikan dua dos vaksin.

Kata Nkengasong lagi, kesatuan 55 negara Afrika memerlukan 34.6 juta dos vaksin dan setakat ini sudah menyuntik 13.9 juta dos, yang mana 8.6 juta dos diedarkan di Maghribi saja.

Sementara itu, PBB memaklumkan lebih 13.6 juta dos suntikana sudah dilakukan di seluruh Afrika termasuk 12 juta dos vaksin AstraZeneca. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top