Afrina Batrisyia intai peluang lebih rekod Shanti

Afrina Batrisyia intai peluang lebih rekod Shanti

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Selepas mengesahkan status sebagai ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, atlet negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal kini mengintai peluang untuk meleburkan rekod kebangsaan 100 meter (m) berusia 31 tahun milik legenda olahraga, G Shanti.

Sehingga kini, masih belum ada pelari pecut wanita negara yang mampu mengatasi catatan 11.50 saat (s) dilakukan Shanti pada 1993 di Kuala Lumpur.

Pada 2017, Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 11.36s di Kejohanan AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan namun catatan itu tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana dibantu tiupan angin.

Nur Afrina, 20, yang dibimbing jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim, berkata dia percaya dirinya mampu untuk memadam rekod milik Shanti tetapi masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki teknik lariannya.

Katanya, dengan Zaidatul sebagai rakan sepasukan, dia percaya mereka boleh memberikan persaingan sihat antara satu sama lain untuk mencatat masa lebih baik.

“Zaidatul adalah rakan sepasukan saya, kami berlatih bersama dengan menggunakan program latihan yang sama.

“Jadi, ini membolehkan kami untuk bersaing antara satu sama lain bagi mencatat masa lebih baik sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 100m,” katanya.

Nur Afrina dari Selangor cemerlang apabila mengungguli saingan akhir 100 dan 200m di Sukma Sarawak dengan rekod baharu temasya dalam kedua-dua acara itu.

Dia mencatat 11.64s dalam aksi final 100m sebelum merakam 23.89s dalam 200m.

Catatannya dalam 100m itu menyaksikan dia hanya dipisahkan 0.14s dengan rekod Shanti manakala 0.56s dengan rekod kebangsaan 200m milik Shereen Samson Vallabouy yang mencatat 23.33s di Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic, Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Nur Afrina berharap dia bebas daripada sebarang masalah kecederaan bagi membolehkan dirinya menggalas cabaran Malaysia di Sukan Sea Bangkok 2025.

“Sasaran utama saya tahun depan adalah Sukan Sea, saya akan terus bekerja keras dalam latihan bagi memperbaiki teknik larian saya.

“Saya tidak boleh janji macam mana prestasi saya tahun depan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Paling penting, saya harap tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top