Putrajaya: Agama perlu terus diangkat sebagai teras dalam membina negara yang bersatu dan bertamadun, khususnya ketika masyarakat berdepan pelbagai krisis serta cabaran generasi masa kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, krisis kemanusiaan, ekonomi dan sosial yang berlaku di peringkat global ketika ini secara tidak langsung mendorong masyarakat kembali mencari nilai, etika dan panduan agama.
“Apa yang berlaku di dunia ini, krisis kemanusiaan, krisis sistem, krisis apa pun sahaja, sebenarnya ia mengingatkan kita manusia untuk kembali mencari Tuhan.
“… kerana masyarakat mahukan satu bimbingan, panduan untuk menangani krisis yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Badan Bukan Kerajaan Majlis Amal Islami Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, dunia pada masa kini turut menyaksikan sekularisme semakin dipersoalkan, sekali gus mendorong masyarakat untuk melihat kepada agama sebagai panduan.
Zulkifli berkata, perkembangan itu membuka ruang besar kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi agama untuk membentuk pemikiran masyarakat ke arah nilai akhlak dan kemanusiaan sejagat.
Beliau menyeru semua NGO dan pemimpin masyarakat supaya mengetepikan perbezaan serta bergerak secara kolektif dalam menjadikan Malaysia sebuah negara contoh yang aman dan damai, berteraskan nilai agama dan peradaban tinggi.
“Kita mahu membina sebuah negara yang rakyatnya hidup dalam suasana harmoni dan bertamadun,” katanya.
Beliau berkata konsep MADANI yang diketengahkan kerajaan adalah gagasan pemikiran universal yang selari dengan ajaran semua agama dan mampu menjadi asas penyatuan rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



