AGC fail notis rayuan hukuman pempengaruh Ija, adik

AGC fail notis rayuan hukuman pempengaruh Ija, adik

saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada pempengaruh permotoran dan adiknya iaitu Tengku Nizarudin Tengku Zainudin dan Tengku Abdul Aziz Tengku Zainudin.

Menurut jabatan itu, pihaknya merujuk kepada keputusan Mahkamah Majistret Muar 1 pada 25 Julai lalu yang sudah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dari tarikh sabitan 25 Julai serta denda sebanyak RM1,500.

Sekiranya gagal membayar denda, tiga bulan penjara dikenakan terhadap kedua-dua pesalah.

“Selepas meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Majistret Muar 1, jabatan sudah memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas kedua-dua pesalah itu,” menurut kenyataan jabatan itu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Abdul Aziz mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, manakala Tengku Nizarudin mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat memberi maklumat palsu kepada penjawat awam mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000, atau dengan kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top