am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal mendapatkan perintah larangan (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak daripada menerbitkan kenyataan berhubung prosiding semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Najib Razak membabitkan Titah Adendum.
Titah Adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, membuat keputusan menolak permohonan AGC selepas mendapati perintah larangan itu jika dibenarkan mahkamah, tidak akan menangani risiko nyata dan besar terhadap keadilan perbicaraan.
Mahkamah turut menolak permohonan AGC untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi memelihara dan melindungi kepentingan sahnya berhubung semua dokumen dan material dikemukakan sebagai eksibit pada prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Dalam penghakimannya, Yee Ching berkata, beliau membuat keputusan itu berpandukan ujian dalam kes ‘Datuk Seri Mohd Najib’ yang diputuskan sebelum ini, yang mana Mahkamah Persekutuan menyatakan pemohon (Peguam Negara) perlu memenuhi tiga kaedah sebelum perintah gag order boleh diberikan.
Beliau berkata, kaedah itu ialah sama ada wujud risiko yang nyata dan besar terhadap keadilan perbicaraan, cara untuk mengatasi risiko itu dan sama ada gag order adalah langkah perlu dan seimbang bagi melindungi keadilan perbicaraan.
Beliau berkata, AGC tidak memenuhi ambang peruntukan diperlukan bagi mendapatkan perintah gag order.
“Sekarang, saya berpendapat perlu ada keseimbangan yang halus di antara objektif perintah gag order dengan kebebasan bersuara dan berekspresi mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas meneliti keseluruhan permohonan, saya tidak berpendapat dengan mengeluarkan perintah larangan akan menangani risiko yang nyata dan besar terhadap keadilan perbicaraan.
“Saya juga tidak fikir wujud risiko sebenar dan nyata terhadap keadilan dalam perbicaraan sekiranya perintah larangan tidak diberikan,” katanya.
Yee Ching berkata, sudah banyak perkara diperkatakan dalam domain awam berkaitan semakan kehakiman terbabit.
Beliau berkata, terdapat langkah alternatif yang mencukupi untuk menangani kebimbangan yang cuba diatasi melalui perintah larangan.
“Undang-undang fitnah dan undang-undang penghinaan mahkamah sudah wujud dan boleh digunakan.
“Secara keseluruhannya, saya tidak mendapati perintah larangan ini perlu. Jadi, permohonan ini ditolak,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan AGC membayar kos RM20,000 kepada Najib.
Peguam Negara memohon perintah gag order diberikan sehingga prosiding semakan kehakiman dan sebarang rayuan berhubung dengannya diputuskan mahkamah.
Ia bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media, individu, organisasi dan pihak ketiga daripada menerbit dan menyiarkan kenyataan kepada orang awam atau mana-mana pihak, yang boleh menyebabkan perbincangan, spekulasi, ulasan, kenyataan, kesimpulan atau cadangan.
Perbincangan itu membabitkan kenyataan yang mempersoalkan, mencabar atau menghina keistimewaan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kuasa baginda dalam memberi pengampunan.
Begitu juga spekulasi atau kenyataan yang menjejaskan kredibiliti, keabsahan dan integriti proses, keputusan, fungsi dan kuasa dijalankan serta dilaksanakan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Ia turut termasuk kenyataan bersifat kritikal, berbaur sindiran atau menghina berhubung kedudukan, kuasa dan peranan institusi beraja dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Peguam Negara memohon satu arahan dikeluarkan mahkamah, bahawa mana-mana pihak melanggar perintah gag order boleh dianggap menghina mahkamah.
Sementara itu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk meminda penyataan dalam semakan kehakimannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung kewujudan Titah Adendum.
Bukti terbabit ialah surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Yee Ching memutuskan dua afidavit difailkan Mohamad Nizar dalam semakan kehakiman itu mencukupi dan berpendapat pindaan dimohon bukan sekadar mengemaskini fakta, sebaliknya mewujudkan kausa tindakan undang-undang baharu.
Katanya, beliau tidak melihat ada kaitan di antara dakwaan terdapat kekurangan tanggungjawab untuk berlaku jujur, telus dan terbuka oleh Peguam Negara pada peringkat kebenaran semakan kehakiman dan permohonan Najib untuk meminda pernyataan.
“Saya berpendapat akan berlaku ketidakadilan terhadap responden (AGC) jika pindaan ini dibenarkan, kerana responden terpaksa menjawab perkara yang bukan isu di hadapan mahkamah ini.
“Jika pindaan ini dibenarkan, ia bermaksud pemohon memperkenalkan satu punca tindakan undang-undang baharu yang substantif dan keadaan itu dilarang dalam kes ‘Yamaha Motor’ (kes terdahulu yang menjadi prinsip undang-undang).
“Sekarang disebabkan kebenaran semakan kehakiman dibenarkan, semua kini dianggap perkara yang sudah berlalu dan tidak boleh diubah lagi. Jelas sekali kita sudah melangkaui tahap itu.
“Yang tinggal hanya untuk mahkamah ini menimbangkan sama ada remedi yang dimohon boleh diberikan,” katanya.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




