PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung 47 kes pertuduhan membabitkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
AGC berkata, keputusan itu dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Katanya, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan selepas Ahmad Zahid Hamidi dipanggil untuk membela diri.
“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
AGC berkata, pihaknya menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.-UTUSAN




