Agensi PBB berusaha bantu pelarian Palestin hilang tempat tinggal

Agensi PBB berusaha bantu pelarian Palestin hilang tempat tinggal

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan, keutamaan mereka selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas adalah mengenal pasti dan membantu rakyat di Semenanjung Gaza yang kehilangan tempat tinggal.

Ketua UNRWA di Gaza, Matthias Schmale, berkata usaha berkenaan terlebih dulu akan dimulai dengan menilai kerosakan fizikal dan infrastruktur.

Beliau juga menyuarakan ‘rasa lega yang sangat besar’ susulan gencatan senjata yang dicapai oleh kedua-dua pihak, bagaimanapun menyatakan perkara itu sebagai ‘rapuh’.

“Saya yakin selepas berada di sini selama tempoh tiga tahun setengah, kita akan kembali berperang jika penyebabnya tidak ditangani,” katanya kepada wartawan di Geneva melalui sidang video pada Jumaat.

Schmale berkata, UNRWA di Gaza kini beralih daripada mod tindak balas kecemasan kepada pemulihan awal dengan tiga keutamaan diberikan, iaitu yang pertama mengenal pasti dan menyokong mereka yang kehilangan tempat tinggal.

“Semalam, sebahagian besar daripada 66,000 orang yang mencari tempat perlindungan di 59 sekolah sudah pulang ke rumah masing-masing. Hanya tinggal beberapa ratus lagi dan mereka mungkin orang yang kehilangan tempat tinggal.

“Keutamaan kedua, melalui penilaian kerosakan serius dan yang ketiga adalah ‘mengenal pasti penduduk yang ketakutan dan trauma’.

“Kita tidak boleh melihat ia sebagai pembinaan semula fizikal. Kita perlu membina semula kehidupan atau membantu membina semula kehidupan,” kata pengarah bantuan itu. – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top