Agih Daging Korban Kepada 700 Asnaf, Neelofa Manfaat Teknologi Untuk Kesejahteraan Orang Ramai Menerusi Aplikasi TheNoor

Agih Daging Korban Kepada 700 Asnaf, Neelofa Manfaat Teknologi Untuk Kesejahteraan Orang Ramai Menerusi Aplikasi TheNoor

Selebriti dan usahawan terkemuka, Neelofa membuktikan komitmennya dalam memanfaatkan teknologi demi kesejahteraan ummah apabila menerajui penganjuran acara korban menerusi Majlis Qurban Perdana bersempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menerusi TheNoor yang diasaskan oleh Neelofa, figura yang bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi terbabit menjalin kerjasama dengan EZ Qurban dalam menjayakan acara yang berlangsung di Jalan Pak Rashid, Pulau Nyatuh, Banting.

Menerusi majlis tersebut, mereka berjaya meraikan lebih 700 penerima daripada kalangan asnaf yang hadir untuk menerima agihan daging korban.

Sebagai peneraju aplikasi gaya hidup Muslim, TheNoor terus memperkukuh peranan bukan sahaja dalam memudahkan urusan harian pengguna, malah sebagai pemacu dakwah dan kebajikan secara holistik.

Menurut Neelofa, inisiatif seperti ini mencerminkan bagaimana teknologi mampu menjadi alat penyebaran nilai-nilai Islam yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.

“TheNoor bukan hanya sebuah aplikasi mudah alih, tetapi satu platform yang menggabungkan keperluan spiritual, sosial dan kemanusiaan.

“Menerusi program korban ini, kami buktikan bahawa teknologi boleh menjadi jambatan untuk menyebarkan nilai-nilai Islam secara berimpak dan menyeluruh.

“Inilah bukti bahawa dakwah moden tidak hanya berlaku secara digital, tetapi juga harus menyentuh realiti kehidupan masyarakat,” katanya.

Pengagihan daging korban telah dijalankan secara langsung di lokasi penyembelihan seawal pagi hari ketiga Aidiladha dengan penyertaan sukarelawan serta pasukan pengurusan daripada kedua-dua organisasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban, Tuan Ahmad Fadzlullah turut menyampaikan penghargaan kepada Neelofa dan seluruh pasukan TheNoor atas kerjasama yang terjalin.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak TheNoor khususnya kepada Hajah Neelofa. Kami juga berharap ini bukanlah satu-satunya program kerjasama EZ Qurban dan TheNoor.

“Program kali ini memberikan semangat dan motivasi khususnya kepada anak-anak yang kurang bernasib baik. Kehadiran kami mungkin tidak mampu mengubah apa yang telah berlaku, cuma kami mengharapkan kehadiran kami dapat memberikan warna dalam hari-hari mereka,” ujarnya.

Inisiatif ini membuktikan kesungguhan TheNoor dan EZ Qurban dalam menggerakkan misi kebajikan dari aplikasi terus ke lapangan, selari dengan semangat ibadah korban yang merentasi sempadan.

Scroll to Top