zanariah_mutalib@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik Perdana Menteri baharu jika Perdana Menteri hilang majoriti, tanpa perlu menunggu keabsahan sokongan terhadapnya dibuktikan di Dewan Rakyat.
Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata kuasa itu termaktub di bawah Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan, yang mana Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, sebagai Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan, pembuktian hilang majoriti tidak semestinya berlaku di Dewan Rakyat, sebagai contoh, ketika krisis politik Perak pada 2009, kehilangan majoriti Menteri Besar ketika itu ditentukan selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengeluarkan akuan bersumpah (SD) yang menyatakan mereka sudah tidak menyokong Menteri Besar.
Nik Ahmad Kamal berkata, mengikut proses, jika Perdana Menteri sudah hilang majoriti, beliau perlu terlebih dahulu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan sudah tidak mendapat sokongan majoriti dan meletakkan jawatan atau boleh memohon kepada baginda untuk membubarkan Parlimen, seperti yang diperuntukkan perlembagaan.
“Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri yang baharu namun perlu melalui proses yang sepatutnya bagi memberi peluang kepada Perdana Menteri menyatakan kedudukan beliau.
“Jika benar Perdana Menteri sudah hilang majoriti, Yang di-Pertuan Agong boleh meminta Perdana Menteri meletak jawatan mengikut Perkara 43(4) atau Perdana Menteri boleh memohon kepada baginda untuk membubarkan Parlimen,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan tindakan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri adalah pilihan yang mudah untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini, namun ia akan membabitkan seluruh anggota Kabinet, yang akan memberi kesan kepada rakyat dan negara yang sedang berdepan krisis kesihatan akibat COVID-19.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan beberapa Ahli Parlimen yang menarik sokongan kepadanya menimbulkan keraguan keabsahannya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.
Katanya, beliau mempunyai dua pilihan di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen atau meletak jawatan, namun selepas memikirkan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti ketika ini, Perdana Menteri baharu tidak boleh dilantik dan kerajaan tidak dapat dibentuk.
Nik Ahmad Kamal berkata, walaupun Muhyiddin tidak menyatakan secara langsung beliau hilang majoriti, tetapi secara implikasinya, Muhyiddin mengaku seolah-olah beliau sudah tidak mempunyai sokongan majoriti untuk membolehkannya terus memegang jawatan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, proses yang saya nyatakan itu tidak berlaku. Perdana Menteri sebaliknya membuat cadangan supaya kumpulan bipartisan diwujudkan bagi menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022.
“Saya pasti Yang di-Pertuan Agong maklum mengenai perkara itu (hilang majoriti) dan seterusnya akan memanggil Perdana Menteri untuk menjelaskan.
“Selain itu, apa yang dilakukan Perdana Menteri semalam adalah di luar Perlembagaan kerana jika jelas beliau tidak ada lagi sokongan majoriti, maka Perkara 43 (4) itu berjalan serta merta,” katanya.
Mengenai kenyataan Muhyiddin yang tiada seorang Ahli Dewan Rakyat pun kini mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, Nik Ahmad Kamal berkata, ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.
“Ia bukan kuasa Perdana Menteri. Perkara 40(2) jelas menyatakan baginda mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri mengikut budi bicara baginda, yang dijalankan mengikut Perkara 43(2)(a).
“Apabila Perdana Menteri hilang majoriti, dengan sendirinya beliau tiada lagi kuasa mengikut Perkara 43(4) dan kuasa itu berpindah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan peranan baginda di bawah perlembagaan. Tidak timbul lagi siapa yang ada majoriti atau tidak, itu adalah budi bicara baginda,” katanya.
Ditanya sama ada cadangan Muhyiddin bagi mewujudkan persefahaman rentas parti itu boleh diteruskan jika majoriti Ahli Parlimen bersetuju, Nik Ahmad Kamal berkata, jika Muhyiddin sudah hilang majoriti, dengan sendirinya keabsahannya sebagai Perdana Menteri tamat.
“Justeru, apa juga yang dicadangkan untuk penyelesaian itu tidak relevan dan tidak boleh dilaksanakan daripada aspek perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis perundangan dan politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek dalam nada yang sama, berkata Perlembagaan menyatakan, jika seorang Perdana Menteri itu hilang majoriti, beliau perlu meletak jawatan dan bukan mencari pengganti yang layak.
“Bagi pelantikan Perdana Menteri baharu, terserah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Ahli Dewan Rakyat yang lain, bukannya Tan Sri Muhyiddin.
“Apabila Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan majoriti, maka secara automatik Kabinetnya juga gugur dan Yang di-Pertuan Agong perlu menentukan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan masih boleh berfungsi tanpa Perdana Menteri dan Kabinet kerana masih mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di bawah Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha di kementerian, serta penjawat awam di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




