Agong Isytihar Darurat di Batu Sapi bagi elak pandemik COVID-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur– Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati baginda mengenai cadangan berkenaan.

“Susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri,Perdana Menteri mempersembahkan nasihat berkaitan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

“Selepas sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi membolehkan suatu Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi P185 Batu Sapi, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya sebentar tadi memberi jaminan kehidupan rakyat Batu Sapi akan berjalan seperti biasa tanpa melibatkan perintah berkurung atau pemerintahan tentera di negeri itu.

“Walaupun diisyhtiharkan darurat namun kegiatan ekonomi, pentadbiran kerajaan, kegiatan sosial boleh diteruskan, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah,” katanya.

 

ZA137 Malay News

National Desk