Agong kurnia 148 lembu korban buat rakyat Johor

Agong kurnia 148 lembu korban buat rakyat Johor

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 148 lembu bagi ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini untuk diagihkan kepada rakyat di negeri Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan menjunjung kasih atas limpah perkenan dan kurniaan penuh bermakna itu.

“Sesungguhnya kurniaan penuh bermakna ini mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan Institusi Diraja Johor yang sentiasa dekat di hati rakyat Johor.

“Patik dan seluruh rakyat jelata merafak sembah setinggi-tinggi kasih serta mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan berada dalam rahmat serta lindungan Allah,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama isteri, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor berkesempatan turun padang di Simpang Renggam, Kluang sempena Aidiladha yang bermula dengan Ziarah Kasih Keluarga Angkat di Kampung Batu 7.

Pasangan itu kemudian bersama-sama masyarakat setempat menjayakan Program Korban Perdana Simpang Renggam, yang menyaksikan 32 lembu dikorbankan dan diagih di seluruh masjid, surau, kampung dan pelbagai pihak.

Onn Hafiz berkata, melihat sendiri semangat kebersamaan warga Simpang Renggam dalam menjayakan ibadah korban memberikan makna yang cukup besar buat dirinya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada rakyat Johor dan warga Simpang Renggam khasnya.

“Sesungguhnya ibadah korban bukan sekadar simbol pengorbanan tetapi juga lambang kasih sayang, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top