Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada susulan keadaan cuaca kering ketika ini yang boleh meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu.
Seri Paduka Baginda bertitah keadaan itu juga menjejaskan kesihatan khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap masalah pernafasan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa. Ini kerana keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim turut menitahkan agar pihak berkuasa mempertingkatkan rondaan dan pemantauan terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara.
Negara ketika ini dilanda jerebu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka susulan beberapa titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar hari ini dilapor berkata sebanyak 66 daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana setakat 9 pagi tadi.
Beliau berkata dua lagi stesen mencatatkan bacaan kualiti udara pada tahap baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd