am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini, menyantuni rakyat sambil beriadah di sekitar Taman Botani Perdana, dekat sini.
Baginda berangkat tiba, 7 pagi tadi, selain berkenan meluangkan masa berinteraksi bersama masyarakat pelbagai lapisan.
Sultan Ibrahim dalam suasana santai turut beramah mesra dengan orang ramai yang sedang bersenam dan menikmati suasana hujung minggu di situ.
Selain itu, baginda turut berkenan bergambar dengan pengunjung taman berkenaan.
Ruangan komen di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipenuhi pandangan rakyat yang rata-rata teruja dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke taman berkenaan.
Individu dikenali Syanon Mohd, menjunjung kasih atas keberangkatan baginda menyantuni rakyat dalam suasana penuh mesra dan rendah diri di Taman Botani Perdana.
“Keberangkatan baginda dalam suasana santai sebegini bukan saja memperlihatkan keprihatinan dan kasih terhadap rakyat, bahkan memperkukuh hubungan harmoni antara institusi diraja dan masyarakat dalam semangat Keluarga Malaysia sejati.
“Kehadiran baginda yang berkenan berinteraksi secara langsung dengan rakyat pelbagai lapisan memberi makna amat besar. Raja berjiwa rakyat sentiasa dekat dengan denyut nadi kehidupan harian rakyat.
“Semoga baginda dilimpahi kesejahteraan, dikurniakan kesihatan berpanjangan dan terus memayungi negara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd