Agong tandatangan Akta Antibuli 2026

Agong tandatangan Akta Antibuli 2026

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penubuhan Tribunal Antibuli bakal direalisasikan tidak lama lagi, selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani Akta Antibuli 2026 di Istana Bukit Tunku di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan di media sosial, Sultan Ibrahim bertitah, tribunal itu akan berfungsi sebagai badan kuasi-kehakiman khusus untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli yang dibuat oleh mangsa.

Baginda bertitah, tribunal itu antara lain berfungsi memberikan apa-apa pampasan atau perintah sewajarnya bagi maksud pembelaan dan keadilan terhadap mangsa buli.

“Akta Antibuli 2026 digubal dan diluluskan di Parlimen pada 3 Disember lalu, bagi mewujudkan mekanisme khusus menangani kes buli untuk semua mangsa yang ditakrif dan diperuntukkan di bawahnya.

“Melalui akta ini, Menteri Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Dalam Negeri diberi kuasa mengurus dan mengawal selia kes buli.

“Ini termasuk kes yang berlaku di institusi pendidikan atau institusi lain di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing,” titah baginda.

BH sebelum ini, melaporkan penubuhan Tribunal Antibuli yang dicadangkan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 memberi kuasa kepada badan itu membuat perintah atau ‘award’ bagi pembuli membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 kepada mangsa.

Pampasan atau ganti rugi itu perlu dibayar pembuli atau responden, sama ada kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga bagi sebarang kerugian atau kerosakan dialami mangsa berkaitan buli.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk perbelanjaan munasabah yang ditanggung akibat buli. Tribunal boleh mengeluarkan perintah untuk responden membayar balik mangsa bagi apa-apa perbelanjaan munasabah ditanggung akibat buli.

Tribunal juga boleh menetapkan perintah bagi pembuli mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada mangsa atau penyiaran pernyataan permohonan maaf membabitkan responden dewasa.

Ia antara lain boleh mengeluarkan perintah penghapusan sebarang kandungan berhubungan dengan buli daripada mana-mana platform media sosial, peranti elektronik atau medium penyimpanan digital.

Berdasarkan RUU itu, buli ditakrifkan sebagai sebarang perbuatan disengajakan dan ditujukan kepada mangsa dengan apa-apa cara, sama ada secara berulang atau dalam suatu kejadian serius yang menyebabkan kemudaratan fizikal, psikologi atau sosial kepada mangsa.

Pada 3 Disember lalu, RUU Antibuli 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, sebelum cadangan akta itu diluluskan di Dewan Negara pada 16 Disember 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top