Agong titah jangan politik isu agama, bina rumah ibadat wajib patuhi undang-undang

Agong titah jangan politik isu agama, bina rumah ibadat wajib patuhi undang-undang

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menegaskan sebarang isu agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara berbilang kaum.

Jangan politikkan isu agama hingga jejas keharmonian

Menerusi kenyataan rasmi, Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang yang telah ditetapkan.

Justeru, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai tersebut demi kepentingan bersama.

isu agama

Isu agama tidak berlaku jika saling menghormati

Dalam titah Baginda lagi, semua pihak diwajibkan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.

Menurut Seri Paduka Baginda, isu pembinaan kuil perlu ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.

Sultan Ibrahim turut mengimbas pengalaman Baginda pada Januari 2018 apabila bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.
“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, YB Aaron Ago Dagang di Istana Negara pada Selasa.

Artikel lain: Isu kuil Hindu berlarutan, Hindu Sangam minta PM Anwar pertimbangkan secara adil

Dalam pertemuan tersebut, Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.

Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Scroll to Top