Agrobank lancar video raya, tawar akaun tanpa deposit untuk 300 kanak-kanak autisme

Agrobank lancar video raya, tawar akaun tanpa deposit untuk 300 kanak-kanak autisme

AGROBANK melancarkan video raya korporat bertajuk ‘Maaf Saya …’ yang membawa mesej empati terhadap autisme serta kepelbagaian neuro dalam masyarakat, selain melancarkan kempen pembukaan akaun tanpa deposit kepada 300 kanak-kanak autisme terawal di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, filem web berkenaan bukan sekadar karya sempena sambutan Aidilfitri tetapi membawa mesej sosial yang lebih mendalam.

“Filem pendek ini sebenarnya bertitik tolak daripada kesedaran Agrobank dalam memainkan peranan memastikan setiap perkhidmatan perbankan dan kewangan yang ditawarkan bersifat inklusif serta dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Kami amat kagum dengan ketabahan dan pengorbanan ibu bapa yang berusaha mendidik anak-anak istimewa agar mereka lebih berdikari serta mampu menyesuaikan diri dalam masyarakat,” katanya pada Tayangan Web Filem Perdana serta Majlis Berbuka Puasa bersama pihak media di Aurum Theatre, Tun Razak Exchange pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin yang menyempurnakan majlis berkenaan.

Paparan video raya Agrobank bertajuk ‘Maaf Saya …’ yang mengangkat mesej empati terhadap autisme serta kepelbagaian neuro dalam masyarakat.

Paparan video raya Agrobank bertajuk ‘Maaf Saya …’ yang mengangkat mesej empati terhadap autisme serta kepelbagaian neuro dalam masyarakat.

Video raya khas bertajuk ‘Maaf Saya…’ itu menampilkan pelakon terkenal tanah air, Que Haidar sebagai teraju utama membawa watak seorang bapa yang melalui perjalanan emosi dalam memahami dan menerima keunikan anaknya yang menghidap autisme.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, golongan kanak-kanak berkeperluan khas tidak seharusnya diketepikan, sebaliknya perlu diberi ruang untuk turut serta dalam kehidupan bermasyarakat.

“Mereka bukan mempunyai kekurangan sebaliknya memiliki kelainan dan mungkin juga kelebihan tersendiri.

“Mesej yang ingin disampaikan ialah agar masyarakat lebih inklusif, meraikan kelainan serta memberi ruang kepada golongan istimewa ini supaya mereka dapat hidup berdikari,” katanya.

Beliau berkata, Agrobank turut menganjurkan kempen khas sempena pelancaran inisiatif tersebut dengan menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit kepada 300 kanak-kanak autisme terawal di seluruh Malaysia.

“Kanak-kanak yang terlibat juga akan menerima pelan perlindungan kemalangan diri Agro Nurani secara percuma dengan perlindungan sehingga RM11,500.

“Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan keterangkuman kewangan selain memberi peluang kepada kanak-kanak autisme serta keluarga mereka memulakan perjalanan kewangan yang lebih terancang bersama Agrobank,” ujarnya.

Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) bersama Foong Hin (tengah) dan Sharruddin (kanan) pada sidang media selepas tayangan perdana video raya Agrobank ‘Maaf Saya …’ di Kuala Lumpur pada Khamis.

Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) bersama Foong Hin (tengah) dan Sharruddin (kanan) pada sidang media selepas tayangan perdana video raya Agrobank ‘Maaf Saya …’ di Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Foong Hin memuji usaha Agrobank yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyediakan pembiayaan kepada pesawah, penanam, nelayan dan penternak, malah turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penghasilan filem pendek ini sangat bermakna dan menyentuh perasaan apatah lagi dengan tema diketengahkan tahun ini yang mengangkat nilai empati serta penerimaan dalam sambutan hari raya.

“Diharapkan lebih banyak organisasi dan institusi dapat mencontohi usaha Agrobank dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat bagi memperkasakan komuniti, selain meningkatkan kefahaman bahawa kanak-kanak autisme juga sebahagian daripada masyarakat dan wajar diberikan peluang untuk berkembang bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kunang Kunang Pictures, Sharruddin Zain berkata, filem pendek tersebut dihasilkan bagi mengetengahkan perspektif serta emosi ibu bapa dalam membesarkan anak autisme.

“Terima kasih kepada Agrobank kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengarahkan filem pendek ini yang mengangkat tema autisme. Penceritaan dalam karya ini bukan sahaja memaparkan perspektif kanak-kanak autisme tetapi turut mengetengahkan perasaan serta penerimaan ibu bapa dalam membesarkan anak istimewa mereka.

“Malah, sebahagian elemen dalam filem ini diinspirasikan daripada pengalaman sebenar kerana saya sendiri mempunyai anak saudara daripada golongan autistik sekali gus membantu menjadikan penceritaan lebih realistik,” katanya.

Ringkasan AI

  • Agrobank melancarkan video raya korporat yang membawa mesej empati dan kepelbagaian neuro serta kampanye pembukaan akaun tanpa deposit untuk 300 kanak-kanak autisme
  • Filem pendek bertajuk ‘Maaf Saya…’ menampilkan Que Haidar sebagai bapa anak autisme, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang inklusiviti
  • Agrobank menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit dan pelan perlindungan kemalangan diri percuma untuk kanak-kanak autisme terawal
  • Inisiatif ini menggalakkan keterangkuman kewangan dan membantu keluarga autisme memulakan perjalanan kewangan yang lebih teratur
  • Filem tersebut diarahkan oleh Sharruddin Zain, menggambarkan perspektif dan emosi ibu bapa dalam membesarkan anak autisme, terinspirasi daripada pengalaman sebenar
Scroll to Top