Agrobank salur pembiayaan tertinggi 2024

Agrobank salur pembiayaan tertinggi 2024

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Agrobank mencatat rekod penyaluran pembiayaan tertinggi sebanyak RM10.44 bilion membabitkan tiga segmen perniagaan utamanya bagi 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, prestasi itu menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 25.46 peratus yang mengatasi pertumbuhan tahun sebelumnya (2023) sebanyak 15.97 peratus.

Katanya, jumlah portfolio pembiayaan juga meningkat sebanyak RM1.2 bilion yang juga kenaikan memberangsangkan sebanyak 72.08 peratus berbanding pencapaian pertumbuhan pada 2023.

“Peningkatan ini didorong prestasi luar biasa yang dicapai oleh tiga segmen perniagaan utama iaitu segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM547.68 juta (161.08 peratus melebihi sasaran), segmen Ar-Rahnu dengan RM186.92 juta (155.76 peratus melebihi sasaran) dan segmen mikro dengan RM181.21 juta (100.67 peratus melebihi sasaran).

“Bagi 2025, Agrobank menyasarkan peningkatan jumlah pembiayaan kepada RM12 bilion,” katanya pada taklimat media prestasi 2024 Agrobank di sini, semalam.

Beliau berkata, baki deposit juga menunjukkan pertumbuhan yang sihat dan tertinggi dalam tempoh lima tahun pada RM13.25 bilion.

Menurutnya, prestasi Agrobank yang kukuh dalam aktiviti pengumpulan deposit dapat dilihat pada nisbah Akaun Semasa Akaun Simpanan (Casa) yang berada pada paras 44 peratus daripada jumlah deposit, mengatasi purata industri perbankan yang hanya 31 peratus.

Selain itu, baki deposit juga menunjukkan pertumbuhan sihat dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM13.25 bilion.

“Jumlah pendapatan juga pada trajektori positif, mencapai RM1.26 bilion dengan pertumbuhan 9.32 peratus berbanding tahun sebelumnya yang juga pencapaian tertinggi dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Pencapaian itu disumbangkan oleh pertumbuhan stabil dalam pembiayaan dan pendapatan sampingan daripada pelaburan (naik sebanyak 22.8 peratus), usaha pemulihan (naik sebanyak 9.67 peratus) serta pendapatan berasaskan yuran (menokok 9.95 peratus).

Pada 2024, Agrobank menyalurkan pembiayaan untuk usahawan Bumiputera, sebahagian besarnya kepada segmen PKS berjumlah RM222.97 juta (40 peratus) dan diikuti segmen korporat sebanyak RM209.84 juta (38 peratus) serta segmen mikro RM121.47 juta (22 peratus).

Tengku Ahmad Badli berkata, bagi tahun ini, Agrobank menyasarkan pembiayaan PKS berjumlah RM600 juta.

“Bagi segmen PKS, sektor sokongan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM96.38 juta, manakala sektor penternakan menerima RM54.08 juta.

“Bagi segmen korporat pula, sebanyak RM201.83 juta disalurkan kepada sektor pemprosesan berasaskan pertanian,” katanya.

Menjelang 2025, beliau berkata, Agrobank akan meluaskan inisiatif untuk merangsang pemodenan sektor pertanian melalui penyelesaian kewangan berpatutan serta program menggalakkan penggunaan teknologi pertanian pintar, sistem pertanian tepat dan Industri 4.0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top