am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Ahirine Ahirudin, 29, mengakui tidak berasa tercabar dengan kehadiran ramai bakat baharu dan pempengaruh media sosial yang terjun dalam bidang lakonan ketika ini.
Ahirine yang sudah empat tahun berlakon berkata, dia melihat kehadiran pempengaruh adalah sesuatu yang positif untuk merancakkan lagi industri seni tanah air.
“Saya tidak melihat kehadiran pempengaruh sebagai persaingan atau cemburu dengan kehadiran mereka kerana percaya setiap orang ada rezeki masing-masing.
“Pada masa sama, bukan sahaja pempengaruh, artis juga perlu mengikut trend dan aktif di media sosial pada zaman sekarang kerana jika tidak mereka akan ketinggalan,” katanya kepada Harian Metro.
Kata pelakon filem Tebus itu, jika ada perkara negatif yang dikaitkan dengan pempengaruh itu lebih kepada individu itu sendiri dan macam mana dia membawa dirinya dalam industri seni.
“Kalau dia tidak pandai bawa diri atau menyesuaikan dirinya dengan orang dalam industri itu yang akan menimbulkan perkara negatif,” katanya.
Ditanya mengenai pihak stesen televisyen yang didakwa memilih pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut di Instagram (IG) untuk berlakon dalam drama pula, kata Ahirine, ia dilakukan kerana strategi pemasaran tapi mungkin tidak adil untuk penonton.
“Pempengaruh selalunya datang dengan pakej iaitu wajah komersil dan ada pengikut yang tinggi di IG.
“Jadi sebab itu segelintir produksi memilih pempengaruh untuk berlakon walaupun mungkin kena kecam sikit tapi orang kenal dia dan nak tengok dia berlakon kerana memiliki ramai pengikut di IG.
“Walaupun mungkin orang kecam lakonannya yang dianggap tidak bagus seperti pelakon berpengalaman tapi tetap beri publisiti pada lakonannya itu,” katanya.
Mengenai kualiti lakonan pempengaruh pula, kata Ahirine, dia anggap dirinya masih baru untuk mengkritik lakonan orang lain.
“Saya sendiri pun masih ‘merangkak’ lagi dalam bidang lakonan dan tak sesuai nak komen pasal lakonan orang lain ‘kayu’ dan tidak bagus.
“Perjalanan saya masih jauh lagi dalam bidang seni dan masih banyak lagi ilmu lakonan yang perlu dipelajari untuk menjadi pelakon yang berkaliber,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




