Ahli farmasi tolak sepenuhnya vape

Ahli farmasi tolak sepenuhnya vape

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sifar toleransi terhadap bahaya tembakau dan vape adalah antara ketetapan dicapai dalam Deklarasi Persatuan Farmasi (MPS) Menentang Vape dan Merokok sempena Konvensyen Kebangsaan Ahli Farmasi 2025 yang berlangsung di Putrajaya semalam.

MPS dalam satu kenyataan berkata, ahli farmasi menolak sepenuhnya penggunaan, promosi dan penormalan semua bentuk rokok dan vape termasuk rokok elektronik, tembakau dipanaskan serta produk perisa vape yang sering menyasarkan belia.

Katanya, MPS menyokong wawasan Generasi Penamat Rokok (GEG) dan penggubalan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam selain menyeru pelaksanaan dasar secara tegas tanpa kompromi seperti diperjuangkan melalui media, perbincangan dasar dan kerjasama dengan masyarakat sivil.

MPS juga memaklumkan komitmen ahli farmasi sebagai barisan hadapan program berhenti merokok seperti mQuit, menyediakan terapi gantian nikotin (NRT), kaunseling tingkah laku dan susulan berstruktur, selain komited memperluas capaian perkhidmatan kepada seluruh komuniti.

“MPS menolak sebarang bentuk pengaruh industri tembakau dan vape, termasuk lobi tidak langsung, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan usaha melemahkan dasar kesihatan awam, selain menyokong amaran Presiden, Amrahi Buang mengenai bahaya pengaruh korporat dan keperluan sempadan etika yang jelas.

“MPS memberi amaran terhadap naratif menyesatkan yang mempromosi vape sebagai ‘kurang berbahaya’, selain menyokong penguatkuasaan menyeluruh, termasuk pengiklanan, kempen pendidikan, sekatan, larangan perisa dan had umur,” katanya.

MPS turut membayangkan semua ruang awam di negara ini bebas daripada asap rokok dan wap vape, termasuk pejabat, pusat beli-belah dan semua premis awam tertutup.

“Ahli farmasi bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi kebangsaan dalam memperkukuh dasar udara bersih bagi melindungi setiap rakyat, terutama kanak-kanak, pesakit dan pekerja daripada pendedahan tidak langsung kepada bahan berbahaya ini.

“Kami berikrar untuk mewujudkan, menyokong dan memantau zon bebas asap dan vape, selain menyeru penguatkuasaan konsisten, pendidikan awam meluas dan penyertaan komuniti bagi menjadikan setiap ruang awam sebagai ruang sihat, bermaruah serta selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top