mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi menjadi tumpuan, selepas beberapa pihak luar dikatakan tidak mahu ‘orang lama’ terus memimpin badan induk bola sepak negara itu pada pemilihan akan datang.
Bekas NaibPresiden FAM, Datuk Dollah Salleh menegaskan bahawa hanya ahli gabungan berhak menentukan siapa layak bertanding termasuklah jika mereka mahu orang lama terus memimpin badan induk bola sepak negara itu demi memulihkan kembali imej pada masa akan datang.
Beliau berkata, pihak tertentu tiada hak untuk menentukan siapa yang layak untuk bertanding jawatan Exco berkenaan memandangkan kerusi itu ditentukan oleh ahli gabungan saja.
“Benda ini yang menentukan bukan siapa-siapa, ahli gabungan yang menentukan. Kalau ada orang luar nak sibukkan, itu bukan urusan mereka. Kalau rasa layak, sila bertanding, tapi semua tertakluk kepada ahli gabungan. Jangan ganggu proses yang telah ditetapkan.
“Kalau ada yang nak pertikaikan, silakan. Tapi benda ini bukan untuk orang luar campur tangan. Kami buat semua ini untuk FAM, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Kalau diberi peluang bertanding semula pun, itu semua terpulang kepada ahli gabungan, bukan kami yang tentukan,” katanya.
Dollah menegaskan pembabitan beliau dalam FAM bukan untuk mengejar jawatan, sebaliknya atas dasar korban masa dan tenaga demi menyelamatkan badan induk bola sepak negara.
“Kami sanggup berkorban. Kalau nak tahu, kami boleh duduk sampai 2029, tapi sebab nak selamatkan FAM, kami rela duduk berbincang, membantu apa yang patut.
“Bukan mudah nak dapat jawatan ini, jadi kami lakukan semuanya dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan pihak tertentu yang cuba memperlekehkan mereka, walaupun masih baru dalam pentadbiran.
“Betul-betul saya tak faham kenapa ada unsur iri hati. Sedangkan kami berkorban. Ingat senang ke nak dapat jawatan itu?.
“Lepas itu, kalau diberi peluang nak bertanding balik pun belum tentu menang, sebab yang menentukan bukan kita, tapi ahli gabungan,” katanya.
Sebelum ini, terdapat saranan supaya FAM melakukan rombakan besar-besaran menjelang pemilihan baharu badan induk itu, termasuk menutup pintu kepada individu lama untuk terus merebut jawatan Exco.
Pandangan itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas penolong pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar apabila melihat keadaan semasa FAM berada dalam situasi agak tenat dan penuh cabaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




