Ahli GISBH dera kanak-kanak di rumah kebajikan dituduh esok

Ahli GISBH dera kanak-kanak di rumah kebajikan dituduh esok

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang juga ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang mendera kanak-kanak ketika di bawah jagaan salah sebuah rumah kebajikan dikaitkan dengan syarikat itu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, pertuduhan akan dibuat terhadap lelaki itu di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.

“Kita akan tuduh suspek yang dikaitkan dengan video tular mendera kanak-kanak di bawah rumah kebajikan dikaitkan dengan GISBH esok,” katanya, hari ini.

Sementara itu, satu jemputan media dikeluarkan Bukit Aman malam ini.

Pendakwaan berkenaan akan dilakukan di mahkamah berkenaan 8.45 pagi esok mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top