Ahli Majlis Pasir Gudang hilang kepercayaan kepada Datuk Bandar

Ahli Majlis Pasir Gudang hilang kepercayaan kepada Datuk Bandar

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Seramai 23 daripada 24 Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memboikot Mesyuarat Penuh MBPG selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar kawasan berkenaan.

Ketua Whip Ahli Majlis MBPG Datuk Mohd Amin Ahmad berkata, tindakan kolektif itu didakwa dilakukan selepas mendakwa wujud kelemahan dalam kepimpinan pentadbiran tertinggi MBPG yang diketuai Datuk Bandar.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan kepimpinan yang tidak menghormati peranan Ahli Majlis sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang pentadbiran kerajaan tempatan.

“Kami tidak lagi yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang yang tidak menghormati peranan Ahli Majlis.

“Ahli Majlis berasa peranan kami tidak diiktiraf Datuk Bandar, sekali gus menyukarkan kami menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat di zon masing-masing,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri beberapa Ahli Majlis, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amin mendakwa, tindakan kepimpinan MBPG sering membelakangkan peranan dirinya sebagai Ketua Whip dan juga Ahli Majlis lain dalam membuat keputusan penting, juga menimbulkan ketidakselesaan.

“Usaha Ahli Majlis untuk mengadakan rundingan dan pertemuan dengan Datuk Bandar juga tidak berhasil, apabila pelbagai alasan diberikan termasuk alasan kesihatan.

“Namun pada masa sama, beliau dilihat menghadiri lawatan luar yang bukan tanggungjawab hakiki jawatan berkenaan. Tindakan sedemikian jelas menunjukkan beliau enggan berhadapan dengan kami secara profesional dan berhemah.

“Sedangkan Ahli Majlis mempunyai peranan penting demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dua Mesyuarat Penuh MBPG yang dijadual berlangsung pada 25 dan 30 Julai lalu juga ditunda, sekali gus menyukarkan sebarang perbincangan dibuat di peringkat pentadbiran.

Justeru, keputusan memboikot Mesyuarat Penuh MBPG hari ini, katanya, bukan dibuat secara sembarangan, sebaliknya tindakan kolektif yang penuh tanggungjawab bagi menuntut pembaharuan dalam cara kepimpinan sedia ada.

“Tindakan kami memboikot mesyuarat penuh menyebabkan ia gagal dijalankan, sekali gus segala usul dan dasar MBPG tidak dapat dibentang, dibahas mahupun diluluskan.

“Kami menggesa supaya Kerajaan Negeri Johor, mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan segera mengambil langkah yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, tujuan desakan itu dibuat adalah bagi memulihkan semangat kerja berpasukan dalam MBPG serta mengembalikan maruah institusi kerajaan tempatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top